![]() |
Kumpulan penyokong President Abedrabbo Mansour Hadi berkawal di Sirwah di barat bandar Marib. aFP
ADEN 20 Dis. – Sekurang-kurangnya 68 orang terkorban berhampiran bandar Haradh di utara Yemen dalam pertempuran sengit antara tentera kerajaan dan kumpulan pemberontak Houthi yang disokong Iran, semalam menjelang hari terakhir rundingan damai yang sedang berlangsung di Switzerland.
Jumlah yang terbunuh itu termasuk 28 anggota tentera dan 40 pemberontak Syiah Houthi.
Sebanyak 50 pemberontak Houthi dan 40 penyokong kerajaan disahkan turut cedera.
Pertempuran itu berlaku walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kepada kedua-dua pihak kerana melanggar perjanjian gencatan senjata.
PBB mengesahkan esok merupakan hari terakhir rundingan damai antara kumpulan pemberontak Houthi dan parti-parti politik Yemen bagi menamatkan perang saudara di negara ini.
“Wakil khas PBB, Ismail Ould Cheikh Ahmed akan mengadakan sidang media esok di Bern tentang keputusan rundingan damai Yemen di Switzerland,” jelas satu kenyataan.
Sementara itu, tentera kerajaan dilaporkan berada dalam lingkungan 40 kilometer di bandar Sanaa yang dikuasai pemberontak tanpa mempedulikan gencatan senjata yang diusahakan PBB.
Penyokong setia Presiden, Abdrabbo Mansour Hadi dan puak-puak bersekutu di kawasan itu turut mengepung Pangkalan Tentera Fardha di timur laut ibu negara yang dikuasai pemberontak. – AFP
No comments:
Post a Comment