Friday, 18 December 2015

Tentera, pemberontak Yemen bertukar tahanan


ADEN – Tentera kerajaan Yemen dan pemberontak melakukan pertukaran ratusan orang tahanan semalam, kata seorang pegawai kerajaan, ketika gencatan senjata dan perbincangan anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Switzerland masuk hari ketiga.
“Kami telah menjalankan pertukaran tahanan dengan jayanya,” kata anggota jawatankuasa hal ehwal tahanan, Mokhtar AL-Rabbash.
Pertukaran itu melibatkan 370 pembe­rontak Houthi dan 285 pejuang prokerajaan, tambahnya.
Beberapa saksi memaklumkan pertukaran itu dilakukan di daerah Yafaa, wilayah Lahj di selatan negara ini berhampiran sempadan wilayah Bayda.
Jawatankuasa Antarabangsa Bulan Sabit Merah di Sanaa yang terlibat dalam pertukaran tahanan sebelum ini bagaimanapun memaklumkan pertubuhan itu ‘tidak mengetahui tentang sebarang pertukaran baharu’.
Tidak banyak maklumat didedahkan da­ripada perbincangan di Switzerland itu yang bertujuan menamatkan konflik berpanjangan di Yemen.
Gencatan senjata yang rapuh diumumkan pasukan keselamatan yang setia kepada Presiden Abedrabbo Mansour Hadi Selasa lalu dan masih bertahan walaupun terdapat beberapa laporan pertempuran kecil.
Perikatan pimpinan Arab Saudi yang menyokong Abedrabbo Mansour menuduh pemberontak Syiah Houthi telah melanggar gencatan senjata itu dan mereka bertindak balas sewajarnya.
Lebih 5,800 orang telah terbunuh di negara ini, separuh daripadanya orang awam, dan lebih daripada 27,000 orang lagi cedera sejak Mac lalu, jelas PBB.
– AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1218&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3ucR5JgxL 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment