SANAA - Tabung Kanak-kanak PBB (Unicef) memberitahu, keganasan berterusan di Yaman telah menyebabkan lebih dua juta kanak-kanak di negara itu tidak dapat bersekolah.
Wakil agensi itu, Julien Harneis berkata, 350,000 budak terlepas sesi persekolahan pada 2015 susulan penutupan banyak sekolah di seluruh Sanaa.
"Terdapat kanak-kanak yang terkorban ketika dalam perjalanan atau ketika berada di sekolah. Pihak bertelagah dalam konflik itu seharusnya berhenti menyasarkan golongan itu dan sekolah bagi memberikan peluang pendidikan kepada mereka," jelasnya.
Unicef menganggarkan, 2,108 sekolah di seluruh Yaman tidak lagi boleh digunakan akibat dibedil selepas Arab Saudi melancarkan operasi ketenteraan sejak Mac tahun lalu.
Susulan itu, agensi antarabangsa terbabit telah merayu bantuan dana berjumlah AS$34 juta (RM141 juta) untuk pemulihan sistem pendidikan negara tersebut. - Press TV