Agensi berita, Al-Jazeera memetik satu kenyataan emel daripada 13 parti politik terbabit yang memaklumkan bahawa Khaled akan mengetuai pembentukan barisan menteri baharu berdasarkan rundingan dengan Abd-Rabbu.
“Kami meminta Presiden, Abd-Rabbu Mansour Hadi dan Perdana Menteri, Khaled Bahah untuk membentuk kerajaan yang cekap dan komited terhadap perlindungan hak asasi manusia, undang-undang dan pengurusan hal ehwal negara,” jelas kenyataan itu, semalam.
Kenyataan itu bagaimana pun tidak memaklumkan bila kerajaan baharu itu akan ditubuhkan, namun menurut ahli-ahli parti politik yang terlibat dalam rundingan, hal itu mungkin mengambil masa dalam beberapa hari atau seminggu.
Utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jamal Benomar yang menghadiri mesyuarat tersebut memberitahu Reuters, berdasarkan persetujuan itu, parti-parti politik yang tidak mempunyai wakil dalam badan penasihat Presiden dibenarkan mencalonkan wakil mereka untuk jawatan menteri.
“Perdana Menteri akan memilih calon yang layak untuk jawatan yang sesuai,” katanya.
Kumpulan pemberontak Huthi dan Parti Sunni al-Islah merupakan antara kumpulan yang menandatangani persetujuan itu beberapa jam selepas pejuang Huthi menyerang beberapa ibu pejabat Parti Sunni al-Islah di wilayah Ibb menyebabkan empat pengawal terbunuh.
Huthi turut memberi kata dua kepada Presiden Abd-Rabbu Mansour, kelmarin supaya segera menubuhkan kerajaan dalam tempoh 10 hari atau beliau bakal berdepan tindakan selanjutnya.
September lalu, pemberontak Huthi menawan ibu negara Yemen dan mencetuskan bantahan ke atas kerajaan ekoran kenaikan mendadak harga minyak.
Kumpulan pemberontak itu turut menguasai beberapa bandar utama dan bertempur dengan kumpulan militan lain.