Dalam kenyataan parti itu, dua anggota parti dilantik untuk mengisi jawatan Naib Presiden dan Setiausaha Agung yang dilepaskan Mansur selepas menjadi Presiden bagi menggantikan Ali.
Awal hari ini, Majlis Keselamatan PBB menguatkuasakan sekatan aset dan visa ke atas Ali dan dua komander Houthi atas kesalahan mengancam keselamatan negara.
Dua komander Houthi terbabit adalah Abd al-Khaliq al-Houthi dan Abdullah Yahya al-Hakim, tetapi ketua pemberontak, Abdulmalik al-Houthi tidak dikenakan sebarang tindakan oleh Majlis Keselamatan PBB.
Terdahulu, Yemen mengumumkan penubuhan barisan Kabinet baharu diwakili 36 anggota bagi menyelesaikan kemelut politik di negara ini yang semakin meruncing, berdasarkan perjanjian damai pada 21 September lalu antara kerajaan dan pemberontak Houthi.
Dalam perkembangan lain, militan al-Qaeda membunuh berpuluh-puluh anggota pemberontak Syiah Houthi di tengah Yemen dalam dua serangan berasingan termasuk satu serangan bom berani mati.
Sumber tempatan yang mengesahkan kejadian itu berkata, penyerang berani mati memandu sebuah kereta dan merempuh berek pemberontak Houthi di Manesh, wilayah Rada sebelum meletupkan diri.
Dalam serangan berasingan, empat anggota al-Qaeda melepaskan tembakan di sebuah sekolah yang dikuasai kumpulan pemberontak di lembah Jarrah berdekatan wilayah yang sama, menyebabkan berpuluh-puluh orang terbunuh dan cedera.
Bagaimanapun al-Qaeda tidak memberikan jumlah sebenar anggota pemberontak yang maut dalam kedua-dua serangan terbabit. – AFP