
Militan Huthi lengkap bersenjata menaiki trak meronda di sebatang jalan di ibu negara Sanaa, kelmarin. – AP
SANAA 30 Okt. - Kumpulan militan Huthi dilapor berjaya menawan sebuah bandar strategik yang menghubungkan ibu negara ini dengan kawasan di sebelah selatan, ketika kumpulan berkenaan berusaha menguasai lebih banyak kawasan di negara ini.
Agensi berita Al-Jazeera melaporkan, kumpulan militan itu berjaya menawan bandar Radmah semalam, bandar yang dapat menghubungkan Sanaa dengan bandar Aden selepas berlakunya pertempuran sengit dengan kabilah tempatan.
Sumber kabilah berkata, sembilan anggota militan Huthi terkorban dalam pertempuran untuk menguasai bandar berkenaan yang merupakan kubu kuat Parti Islah.
Kejayaan militan Huthi menawan Radmah membolehkan mereka mengawal hampir keseluruhan wilayah Ibb, kecuali Udain yang masih lagi berada di bawah penguasaan kumpulan militan al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP) yang bersekutu dengan kumpulan kabilah tempatan.
Sebelum ini Presiden Yemen, Abd-Rabbu Mansour Hadi mengarahkan kumpulan militan Huthi ‘segera keluar’ dari kawasan yang ditawan.
Pada September lalu, kumpulan militan itu berjaya menawan dengan mudah ibu negara Sanaa sebelum menawan Pelabuhan Laut Merah di Hodeidah, Dhamar dan seterusnya memasuki wilayah Ibb.
Pihak berkuasa Yemen, sebelum ini menuduh kumpulan militan Huthi mempunyai kaitan dengan Iran dan memperjuangkan kepentingan masyarakat Zaidi, yang membentuk satu perlima daripada 25 juta penduduk Yemen.
Dalam perkembangan lain, parti politik Yemen sudah mencapai persetujuan untuk membentuk sebuah kerajaan teknokrat baharu, sejajar dengan permintaan kumpulan militan Huthi.