Thursday, 9 October 2014

Penyelesaian krisis di Yemen buntu


Ahmed Awad Mubarak
SANAA 8 Okt. - Pergolakan di Yemen tidak menunjukkan perkembangan positif apabila pelantikan Perdana Menteri baharu negara ini oleh Presiden, ditolak mentah-mentah oleh pemberontak Syiah Huthi yang mengawal ibu negara sejak dua minggu lalu.
Penentangan Huthi itu terhadap pelantikan Ahmed Awad Mubarak bagi menggantikan Mohammed Basindawa sebagai Perdana Menteri, meranapkan harapan untuk memulihkan keamanan di Sanaa.
Pemberontak Huthi yang mempunyai hubungan dengan Iran, menentang permintaan kerajaan Yemen untuk berundur dari ibu negara selagi perjanjian antara mereka dan Presiden Abdrabuh Mansur Hadi untuk menjadikan puak Syiah sebagai sebahagian daripada kerajaan dan kekal di Sanaa sehingga Perdana Menteri baharu diumumkan.
Ketua pemberontak Huthi, Daifallah al-Shami melalui kenyataannya menuduh kedutaan Amerika Syarikat (AS) terlibat dalam mempengaruhi pelantikan Ahmed Awad.
Jelasnya, duta AS bertemu dengan Abdrabuh untuk membuat keputusan yang menentang kehendak rakyat Yemen dan melantik Ahmed Awad bagi memenuhi kehendak kedutaan negara Barat itu.
"Keputusan tersebut ditentang oleh ramai pihak dan rakyat bersedia meneruskan pemberontakan secara besar-besaran sehingga matlamat tercapai," katanya menerusi kenyataan yang disiarkan dalam laman sosial Facebook.
Dalam perkembangan lain, militan dipercayai pengganas al-Qaeda membunuh sekurang-kurangnya 10 anggota polis di pekan Baida, tengah Yemen dalam serangan bersenjata termasuk serangan pengebom berani mati.
Selain itu, kumpulan militan berkenaan turut menyerang bangunan kerajaan dan membunuh empat askar sebelum ditumpaskan pihak keselamatan.
Serangan tersebut dipercayai dilancarkan selepas perbincangan ketua-ketua kabilah di Baida, termasuk segelintir daripadanya mempunyai kaitan dengan al-Qaeda, untuk bertindak atas peningkatan aktivit pemberontak Huthi di pekan tersebut. - REUTERS/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141009/lu_06/Penyelesaian-krisis-di-Yemen-buntu#ixzz3FclGOuqB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment