Monday, 6 October 2014

Kerajaan bayangan Huthi di Sanaa


SEKUMPULAN pemberontak Syiah Huthi, meraikan kejayaan menawan sebuah pangkalan tentera di Sanaa, Yemen, pada 22 September lalu. - AFP
SANAA 5 Okt. - Ketika dunia memberikan tumpuan kepada usaha memerangi militan Negara Islam (IS) di Syria dan Iraq, Yemen pula berdepan krisis politik serius apabila kumpulan pemberontak Huthi dilapor mewujudkan pentadbiran sendiri di ibu negara ini yang telah dikuasai selama dua minggu.
Di Sanaa, anggota kumpulan bersenjata Huthi yang terdiri daripada puak Syiah, dilihat meronda di jalan-jalan serta berkawal di kebanyakan bangunan kerajaan daripada lapangan terbang, bank pusat hinggalah ke Kementerian Pertahanan.
Kelibat anggota polis dan tentera kerajaan pula jarang dilihat.
Pemberontak Huthi yang dipercayai menapat sokongan Iran, kini dilihat sebagai versi Hezbollah di Lebanon.
Penguasaan mereka terhadap ibu negara juga, mengancam serangan balas daripada puak Sunnah sekali gus boleh mencetuskan perang saudara yang bakal memperkuatkan lagi cawangan al-Qaeda di Yemen.
Situasi yang semakin tidak menentu itu turut diakui oleh Presiden Yemen, Abdrabuh Mansur Hadi yang kini bergelut membentuk kerajaan baharu untuk memenuhi permintaan pemberontak Huthi.
Kebimbangan turut disuarakan Arab Saudi tentang kemungkinan wujud kumpulan bersenjata pro-Iran di kawasan sempadan negaranya dengan Yemen.
Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Yemen, Jamal Benomar memberi amaran, pengambilalihan Huthi di Sanaa akan menjadi buah mulut di Yemen dan rantau itu.
"Situasi di Yemen kini dipandang sama seperti di Syria dan Iraq kerana penglibatan pihak-pihak dalam rantau ini dan juga antarabangsa," katanya. - AGENSI

No comments:

Post a Comment