
GAMBAR bertarikh 22 September lalu merakamkan penduduk Yemen memerhati kesan tangki minyak yang terbakar ketika pertempuran antara tentera kerajaan dan kumpulan pemberontak Huthi di Sanaa. - AFP
SANAA 6 Okt. - Selepas menguasai kawalan di Sanaa, ibu negara Yemen, kumpulan pemberontak Huthi, kini cuba pula merampas kawalan ke atas kemudahan minyak dan elektrik di wilayah Marib, kira-kira 120 kilometer dari timur ibu negara, dalam tindakan mereka untuk menguasai kawalan ke atas sumber semula jadi negara ini.
Portal berita, Asharq Al-Awsat melaporkan, kumpulan pemberontak itu yang diketuai pemimpin Syiah, Abdel Malik al-Houthi masih menguasai bangunan-bangunan kerajaan selepas berjaya merampas kawalan ke atas ibu negara ini.
Dilaporkan berpuluh-puluh anggota kumpulan itu dikerahkan berdekatan kemudahan minyak dan elektrik termasuk Kementerian Minyak dan Mineral, Masila Petroleum Exploration and Production Company dan Yemen Oil and Gas Corporation.
Sumber Asharq Al-Awsat berkata, penguasaan ke atas kemudahan minyak dan elektrik di Yemen akan meningkatkan kawalan penuh kumpulan itu ke atas dana awam.
Kumpulan Huthi juga mengarahkan Kementerian Kewangan menangguhkan semua bayaran kecuali gaji kakitangan awam dalam langkah yang mereka sifatkan sebagai melindungi dana kerajaan.
Jelas sumber tersebut, pergerakan Syiah itu juga melarang Kementerian Perkhidmatan Awam daripada membuat sebarang keputusan berhubung pengambilan pekerja sehingga Kabinet baharu dibentuk di bawah perjanjian tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sementara itu, tidak ada sebarang kemajuan rundingan berhubung pembentukan Kabinet antara kumpulan pemberontak tersebut dengan Presiden Abd Rabbuh Mansur Hadi, menurut satu sumber.
"Kumpulan pemberontak mahu mengawal pembentukan Kabinet, satu proses yang sepatutnya dipersetujui semua pihak terbabit," kata sumber kerajaan kepada Asharq Al-Awsat.
Pegawai kerajaan yang enggan dikenali itu berkata, pemberontak Huthi juga gagal melaksanakan perjanjian mereka dengan utusan khas PBB ke Yemen, Jamal Benomar untuk berundur dari Sanaa sebelum Hari Raya Aidiladha.
Kerajaan Pusat Yemen dan pemberontak Huthi pada bulan lalu menandatangani perjanjian tajaan PBB bagi menamatkan krisis di negara ini.
Antara terma perjanjian tersebut ialah pembentukan Kabinet baharu, membatalkan pemotongan subsidi minyak dan membenarkan penyertaan puak Syiah dalam kerajaan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141007/lu_03/Huthi-cuba-rampas-loji-minyak#ixzz3FQ5oLaLj
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment