
Seorang lelaki Yemen meratapi kematian beberapa orang penduduk Yemen dalam insiden serangan berani mati yang mengorbankan seramai 43 orang di Sanaa, semalam. - REUTERS
SANAA 9 Okt. - Tidak sampai 24 jam dilantik sebagai Perdana Menteri Yemen yang baharu, Ahmed Awad Mubarak menolak pelantikannya itu selepas mendapat tentangan hebat daripada pemberontak Syiah Huthi yang menguasai kawalan ke atas ibu negara ini sejak 21 September lalu.
Menurut agensi berita Saba, hari ini, Presiden Abdrabuh Mansur Hadi menerima `permohonan supaya dilepaskan' daripada Ahmed Awad bagi membentuk sebuah kerajaan baharu yang ditetapkan menerusi perjanjian damai yang ditaja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ahmed Awad membuat keputusan itu 'dalam usaha beliau menjamin perpaduan negara dan melindungi negara itu daripada berpecah belah,' lapor Saba yang memetik sepucuk surat yang diserahkan Perdana Menteri itu kepada Abdrabuh Mansur.
Sebagai tindak balas, pemberontak Huthi yang secara rasmi dikenali sebagai Ansarullah bersetuju membatalkan rancangan mereka untuk mengadakan demonstrasi, hari ini.
Pemimpin kumpulan itu, Abdulmalik al-Huthi dilaporkan merancang mengadakan protes di sini sebagai reaksi kepada pelantikan Ahmed Awad itu.
Dalam perkembangan berasingan, sekurang-kurangnya 43 orang dilaporkan terbunuh dalam satu serangan berani mati yang menjadikan pos pemeriksaan pemberontak di ibu negara ini sebagai sasaran,
Menurut seorang saksi, 20 mayat dilihat berada di lokasi kejadian letupan di Dataran Tahrir dengan beberapa orang lagi dilaporkan mengalami kecederaan.
Seorang anggota polis yang berada berhampiran lokasi letupan berkata, suspek seorang lelaki bertindak menghampiri pos berkenaan sebelum meletupkan dirinya.
Setakat ini, tidak ada pihak yang mengaku bertanggung jawab dalam serangan itu. - AFP/REUTERS
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141010/lu_06/Perdana-Menteri-baharu-Yemen-tolak-pelantikan#ixzz3Fh6I10RI
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment