Pemberontak Houthi mengawal laluan sempadan di utara bandar Sana'a ketika perjanjian damai ditandatangani, semalam.
Pemberontak Houthi mengawal laluan sempadan di utara bandar Sana'a ketika perjanjian damai ditandatangani, semalam.
SANA'A - YAMAN . Kerajaan Yaman dan pemberontak Syiah menandatangani perjanjian damai, susulan keganasan yang meragut lebih 200 nyawa di negara itu.

Perjanjian itu merangkumi pembentukan kerajaan teknokrat dalam tempoh sebulan selepas dipersetujui semua parti politik termasuk sayap kumpulan pemisah dari selatan, Herak dan Parti Islah serta menggesa perlaksanaan gencatan senjata dengan segera.

Media tempatan melaporkan, selepas persetujuan dicapai, polis dan tentera mengambil alih semula kawalan keselamatan di bangunan kerajaan yang ditawan kumpulan pemberontak Houthi sejak kelmarin.

Bagaimanapun, perwakilan Houthi yang diterbangkan dari Saada ke Sana’a, dilaporkan enggan mempersetujui lampiran berkaitan menyerahkan bangunan yang ditawan dan senjata yang dirampas ketika pertempuran.

Menerusi perjanjian itu, kumpulan Houthi dilihat bakal menyertai kerajaan perpaduan nasional yang akan dibentuk dan menolak keputusan kerajaan terdahulu.

Sementara itu, Perdana Menteri Mohammed Salem Basindwa dilaporkan menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Presiden Abedrabu Mansour Hadi beberapa jam sebelum perjanjian ditandatangani, dipetik dari laporan Agensi.