Monday, 22 September 2014

Kerajaan Yaman, pemberontak setuju tamatkan pertempuran



KEPULAN asap naik ke udara selepas sebuah bangunan Stesen Televisyen Yaman terbakar berikutan diserang puak pemberontak di pinggir Sanaa, semalam. - Foto AP
SANAA: Kerajaan Yaman dan pemberontak Houthi Syiah mencapai persetujuan untuk menamatkan keganasan paling buruk sejak beberapa tahun lalu di ibu negara Sanaa, menurut wakil khas PBB, Jamal Benomar.
Pertempuran yang meningkat pada Khamis lalu selepas beberapa siri bantahan adalah cabaran utama peralihan demokrasi yang disokong PBB selepas pemimpin veteran, Ali Abdullah Saleh dipaksa berundur pada 2012.
Pertempuran meletus semalam di pinggir Sanaa dan pemberontak menyatakan mereka sudah menguasai stesen televisyen negara itu.
Jawatankuasa Keselamatan Yaman pula mengumumkan perintah berkurung di empat kawasan di ibu negara dari jam 9 malam hingga 6 pagi manakala sekolah ditutup sehingga diberitahu kelak.
"Perjanjian ini akan menjadi dokumen negara yang akan membawa kepada keamanan dan meletakkan asas untuk kesepakatan dan untuk keselamatan serta kestabilan," kata Benomar dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, persiapan sedang dibuat bagi pemeteraian perjanjian itu.
Benomar mengadakan rundingan dengan pemimpin Houthi, Abdulmalek al-Houthi di Saada pada Rabu dan Khamis lalu.
Seorang pemimpin pemberontak Houthi, Abdelmalik al-Ajri, memberitahu Reuters wakil kumpulannya boleh tiba di ibu negara dari Saada hari ini untuk memeterai perjanjian itu bagi menamatkan krisis. - Reuters

No comments:

Post a Comment