Kuala Lumpur: Gencatan senjata antara kumpulan pemberontak Houthi dan kerajaan Yaman sejak dua hari lalu diambil kesempatan penuntut rakyat Malaysia kembali ke penempatan asal untuk mengambil dokumen penting mereka.
Setiausaha Agung Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA) Md Irham Nori Abidin berkata, suasana aman itu juga membolehkan mereka menjalankan aktiviti harian seperti biasa.
“Keadaan tenang ini diharap berterusan namun langkah berjaga-jaga tetap diambil sekiranya keadaan kembali bergolak.
“Kebanyakan pelajar pulang ke penempatan di kawasan Street 30 untuk mengambil dokumen dan barangan peribadi sebelum pulang semula ke penempatan di kawasan Diplomat Hadda, Sanaa kerana masih bimbang dengan keselamatan yang masih belum terjamin,” katanya.
Menurutnya, sepanjang tempoh berada di penempatan khas itu pelajar terus menerima bekalan kewangan dan makanan termasuk daripada kerajaan Malaysia. Harian Metro sebelum ini melaporkan seramai 440 orang iaitu 357 lelaki, 45 wanita dan 33 kanak-kanak ditempatkan di penempatan khas selepas berlakunya tunjuk perasaan dan pertempuran antara kumpulan pemberontak Houthi dengan kerajaan.
Pertempuran itu menyebabkan pengajian elajar ditangguhkan berikutan semua universiti ditutup.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar Wisma Putra Datin Nirvana Jalil Ghani dalam satu kenyataan berkata, setakat ini keadaan rakyat Malaysia di Yaman berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan di kediaman sementara yang disediakan pihak kedutaan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/24
No comments:
Post a Comment