Saturday, 20 September 2014

Tempur sengit di Sanaa


Sanaa: Pemberontak Syiah dan militia Sunni bertempur buat hari kedua berturut-turut di jalan raya di bandar raya ini, semalam, sekali gus meningkatkan kebimbangan kemungkinan pertelingkahan menjadi lebih buruk.

Sehingga ini, 120 orang terbunuh dan ribuan penduduk meninggalkan kediaman masing-masing di samping memaksa lapangan terbang utama negara itu ditutup.
Pertempuran antara Sunni dan Syiah di Yaman tidak pernah berlaku sepanjang puluhan tahun lalu.




Yaman selama ini tidak stabil kerana peperangan antara tentera kerajaan dengan militan al-Qaeda.
Tetapi sejak beberapa bulan lalu, pemberontak Syiah yang dikenali sebagai Hawthi muncul sebagai kumpulan paling berpengaruh.
Mereka mara dari kubu kuat mereka di utara, menawan beberapa bandar sebelum tiba di Sanaa.

Penentang utama mereka ialah militia Sunni dan sayap tentera yang ada hubungan dengan parti Islah, cabang Ikhwanul Muslimin di Yaman serta anggota bersenjata kabilah yang bersimpati dengan Ikhwan atau al-Qaeda.

Kerajaan Presiden Abed Rabbp Mansour Hadi, sekutu Amerika Syarikat, terperangkap di tengah-tengah.

Selepas menguasai Shamlan, daerah di pinggir Sanaa, militan Hawthi melancarkan serangan terhadap kubu kuat pejuang Sunni, Universiti Iman.

Mereka juga melancarkan serbuan terhadap ibu pejabat stesen televisyen Yaman selepas membedilnya dengan mortar sepanjang malam.

“Bedilan dan tembakan mesingan tidak berhenti,” kata Ammar Ahmed yang menetap berhampiran universiti itu.

Mayat bergelimpangan di jalan raya di sebelah kenderaan yang rentung di depan universiti itu.

Pertempuran juga merebak ke daerah Massbah, tempat pemberontak itu menyasarkan kediaman Jeneral Ali Mohesn al-Ahmar, sekutu pejuang Sunni yang mengetuai tentangan terhadap pemberontak Hawthi di utara dari 2004 hingga 2010.

Arab Saudi yang mempunyai pengaruh kuat di Yaman mulanya gembira melihat Hawthi bertempur dengan Ikhwan, tetapi negara itu kini melihat mereka sebagai musuh dan bimbang mengenai kemaraannya di Sanaa. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/20

No comments:

Post a Comment