SANAA 24 Sept. - Presiden Yemen, Abdrabuh Mansur Hadi (gambar) semalam memberi amaran negara ini bakal berdepan dengan 'perang saudara' dan berjanji akan memperkukuhkan kedaulatan Yemen, ketika pemberontak meraikan kejayaan menawan kebanyakan kawasan di Sanaa.
Abdrabuh ketika berucap di Istana Presiden berkata, Yemen kini 'berdepan dengan konspirasi' dan berada dalam kedudukan bahaya terjebak dengan perang saudara, dua hari selepas pemberontak menawan kebanyakan institusi pentadbiran utama di Sanaa.
Selain itu, Abdrabuh turut mengutuk tindakan yang dimainkan oleh kuasa luar untuk memusnahkan keamanan yang dikecapi oleh Yemen.
"Pihak tertentu dari dalam dan luar negara kini sedang berpakat menggulingkan Yemen, melalui cara peralihan kuasa yang diilhamkan oleh pemberontak iaitu kebangkitan rakyat yang juga dikenali sebagai Arab Spring," jelasnya.
Justeru, beliau menggesa supaya diadakan satu pakatan dengan seteru utamanya iaitu Parti al-Islah bagi mengatasi masalah itu.
Sebelum itu, ketua pemberontak, Abdelmalek al-Huthi mengucapkan tahniah kepada anak buahnya atas kejayaan mereka 'melakukan revolusi bagi mewujudkan era baharu yang berasaskan kepada kerjasama'.
Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jamal Benomar berkata, kurangnya penentangan terhadap kumpulan pemberontak menjadi punca utama mengapa pasukan keselamatan gagal mempertahankan Sanaa.
"Saya memberi amaran tindakan ini akan membawa kepada kejatuhan Yemen dan berlakunya peralihan politik," ujarnya lagi. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140925/lu_06/Yemen-berdepan-perang-saudara---Presiden#ixzz3EGjntDTn
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment