
KETUA Jabatan Perhubungan Politik Houthi, Hussein al-Ezzi (duduk) menandatangani perjanjian sambil disaksikan oleh Jamal (dua dari kanan) dan Abd-Rabbu (tengah) di Sanaa kelmarin.
SANAA - Pemberontak Syiah di Yemen menandatangani satu perjanjian dengan beberapa parti politik kelmarin untuk membentuk satu kerajaan yang lebih inklusif dan mengakhiri pertempuran yang berlaku di sekitar ibu kota.
Perdana Menteri, Mohammad Basindwa sebelum ini telah pun menghantar surat peletakan jawatan kepada Presiden, Abd-Rabbu Mansour Hadi untuk membuka jalan bagi perjanjian tersebut.
Sebelum itu, kumpulan pemberontak yang dikenali Houthi itu bertindak menguasai bangunan-bangunan kerajaan di Sanaa semasa memberi tentangan kepada anggota tentera dan pihak berkuasa.
Penduduk di Sanaa memberitahu, pihak pemberontak telah mengambil alih beberapa bangunan kerajaan termasuk kompleks Perdana Menteri, pusat arahan tentera dan stesen televisyen negara selepas anggota keselamatan terpaksa berundur.
Lebih 100 orang dilaporkan terbunuh sepanjang empat hari pertempuran antara pemberontak Houthi yang menentang kerajaan Sanaa selama lebih sedekad.
Wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jamal Benomar yang mengadakan perbincangan dengan pemimpin Houthi, Abdulmalek al-Houthi di wilayah kelahirannya, Saada pada Rabu dan Khamis lalu, mengumumkan lewat kelmarin bahawa satu perjanjian telah dicapai.
Kenyataan daripada pejabat kerajaan Yemen mengatakan bahawa perjanjian itu menggesa gencatan senjata serta-merta dan menamatkan semua keganasan.
"Ia juga menyeru pembentukan sebuah kerajaan teknokrat yang akan bekerja untuk meningkatkan ketelusan kerajaan dan melaksanakan pembaharuan ekonomi di samping meneruskan pembaharuan dalam ketenteraan dan keselamatan," menurut kenyataan itu lagi. - Reuters
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0923&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3E9BCPMYV
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment