Sanaa: Pertempuran terus meletus di ibu negara Yaman ini semalam walaupun wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan kerajaan dan pemberontak Syiah bersedia menandatangani perjanjian gencatan senjata.
Pengeboman dan tembakan di utara Sanaa kedengaran di seluruh bandar itu ketika pejuang Sunni bertempur dengan pemberontak berkenaan, mendorong penduduk melarikan diri ke tempat lebih selamat.
Pertempuran selama seminggu antara kedua-dua pihak itu menyebabkan puluhan terbunuh dan memaksa pembatalan semua penerbangan keluar masuk di Lapangan Terbang Sanaa.
Pertempuran semalam masih tertumpu di kampus Universiti Al-Iman, kubu kuat pejuang Sunni yang cuba ditawan pemberontak Syiah itu.
Kumpulan yang bersekutu dengan kerajaan berusaha menyekat kemaraan pemberontak itu yang bangkit dari kubu kuat mereka di utara bulan lalu dan mendirikan khemah mereka di sekitar Sanaa untuk mendesak kerajaan memenuhi tuntutan mereka.
Presiden Yaman, Abd Rab- buh Mansur Hadi menyifatkan serangan pemberontak itu sebagai cubaan merampas kuasa.
Beliau kini bersetuju membabitkan kumpulan berkenaan dalam pembentukan kerajaan baru bagi menggantikan pentadbiran tidak popular yang melaksanakan langkah berjimat-cermat termasuk menaikkan harga minyak pada awal tahun.
Pertempuran di utara Sanaa itu berterusan sejak Khamis lalu apabila hampir 40 terbunuh dalam masa sehari.- AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/22
No comments:
Post a Comment