
Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi serangan bom kereta di kolej polis di Sanaa, semalam. Sekurang-kurangnya 30 orang termasuk kadet polis terbunuh dalam insiden itu. – REUTERS
SANAA 7 Jan. – Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dan lebih 50 orang lagi cedera dalam serangan terbaharu membabitkan bom kereta di sebuah kolej polis di ibu negara ini, hari ini memburukkan lagi keadaan keselamatan di Yemen.
Menurut sumber polis, serangan itu berlaku ketika sekumpulan pelajar sedang beratur untuk sesi pendaftaran dan orang ramai lalu-lalang di lokasi kejadian.
Jelas sumber berkenaan, letupan kuat dapat didengari di seluruh bandar Sanaa dan asap tebal turut kelihatan sejurus bom berkenaan meletup.
Tiada pihak mengaku bertanggungjawab dalam keganasan terbaharu itu.
Kumpulan militan al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP), merupakan satu daripada sayap rangkaian al-Qaeda yang paling aktif melancarkan serangan bom dan tembakan di seluruh negara.
Pergolakan di Yemen semakin membimbangkan sejak revolusi 2011 yang menyaksikan perubahan kerajaan dan perpecahan dalam kepimpinan ketenteraan, selain pemberontakan puak Syiah Houthi yang menawan ibu negara ini sejak September lalu.
Militan AQAP sebelum ini berikrar untuk menyekat kemaraan pemberontak Houthi, sekali gus mencetuskan kebimbangan berlakunya konflik puak di negara ini.
Awal tahun ini, sekurang-kurangnya 26 orang terbunuh akibat serangan pengebom berani mati di sebuah pusat kebudayaan di bandar Ibb yang dipercayai mensasarkan pemberontak Houthi.
– REUTERS
No comments:
Post a Comment