![]() |
PENDUDUK Yemen mengadakan tunjuk perasaan sebagai membantah pemberontakan oleh kumpulan Syiah Huthi di Sanaa, kelmarin. – AFP |
SANAA 24 Jan. – Beribu-ribu rakyat Yemen berarak di jalan-jalan utama di ibu negara ini, sebagai membantah pemberontakan puak Syiah Huthi yang tercetus sejak September lalu, sehingga menyebabkan Presiden Abdrabuh Mansur Hadi dan Perdana Menteri Khalid Bahah meletakkan jawatan.
Tunjuk perasaan tersebut yang diberi nama ‘Pergerakan Menolak’, dibentuk baru-baru ini di wilayah utama Yemen bagi mencabar kuasa militan Huthi yang menawan Sanaa, sebagai cubaan untuk merampas kuasa.
Berpuluh-puluh anggota bersenjata Huthi cuba meleraikan tunjuk perasaan tersebut sehingga mencetuskan perbalahan kecil, tetapi mereka terpaksa berundur ekoran semakin ramai penduduk menyertai bantahan itu.
Penunjuk perasaan turut melaungkan ‘Turun, turun bersama pemerintahan Huthi’ sepanjang melancarkan bantahan.
Kumpulan penunjuk perasaan berkumpul di Dataran Perubahan dekat Universiti Sanaa, sebelum menuju ke Istana Republik, di tengah ibu negara yang merupakan kediaman Khalid yang hilang sejak Rabu lalu selepas kediamannya itu dikepung selama dua hari oleh pemberontak Huthi.
Kumpulan penunjuk perasaan itu kemudian mengubah haluan ke kediaman Presiden Abdrabuh sebagai membantah tindakan beliau meletak jawatan.
Tunjuk perasaan turut diadakan di bandar-bandar utama di Taez, Ibb dan Hudaida. - AFP
No comments:
Post a Comment