Perjuangan Tawakkul diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Perjuangan Tawakkul diiktiraf di peringkat antarabangsa.
WARTAWAN dan aktivis hak asasi wanita, Tawakkul Karman menjadi wanita Arab pertama menerima Hadiah Nobel Keamanan pada 2011 susulan penglibatannya sebagai pemimpin protes prodemokrasi di Yaman.
Ibu kepada tiga anak ini turut berkongsi pengiktirafan tersebut bersama rakan seperjuangannya, Ellen Johnson Sirleaf dan Leymah Gbowee yang menjadi orang penting menggerakkan kempen tanpa kekerasan demi untuk menuntut hak wanita serta demokrasi.

Beliau juga digelar sebagai ‘ibu revolusi’ oleh beberapa gerakan pembangkang selepas wanita terbabit bertindak nekad tidak berganjak dari Dataran Change di Sanaa sebagai menuntut pengunduran bekas Presiden Ali Abdullah Salleh yang ketika itu telah memegang tampuk pemerintahan selama tiga dekad.

Kehidupan Awal

Tawakkul dilahirkan pada 7 Februari 1979 di Taiz, bandar ketiga terbesar di Yaman. Bapanya, Abdel Salam Karman merupakan seorang peguam dan pernah dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Undang-undang sebelum meletak jawatan pada 1994 kerana membantah amalan rasuah dalam kerajaan.

Wanita tersebut dibesarkan dalam keadaan negara yang tidak stabil akibat konflik politik meruncing.

Beliau turut menyaksikan penyatuan wilayah utara dan selatan Yaman pada 1990, disusuli dengan perang saudara antara kedua-dua belah pihak yang tercetus kira-kira empat tahun kemudian.

Teruskan cita-cita

Walaupun negaranya dihimpit kemelut politik, beliau tetap meneruskan cita-citanya dan berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dari Universiti Sains dan Teknologi di ibu negara sebelum menyambung pengajian Ijazah Sarjana dalam pengajian sains politik dari Universiti Sanaa.

Pada 2012, Tawakkul dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Undang-undang Antarabangsa dari Universiti Alberta di Kanada.

Tubuhkan Women Journalists Without Chains

Beliau merupakan pengasas bersama kumpulan hak asasi manusia, Women Journalists Without Chains (WJWC) pada 2005 yang memperjuangkan kebebasan bersuara dan demokrasi.

Wanita itu pernah menerima ancaman daripada pihak berkuasa selepas beliau tetap mahu meneruskan agenda WJWC walaupun Kementerian Maklumat telah menolak permohonannya untuk menerbitkan akhbar dan membuka stesen radio.

Kumpulan tersebut juga menyokong kebebasan perkhidmatan berita melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang ketika itu dikawal ketat oleh kerajaan sedangkan ia tidak termasuk di bawah Undang-undang Akhbar pada 1990. Pada 2007, WJWC mengeluarkan laporan yang mengandungi bukti sekatan ke atas kebebasan media di negara itu.

Anjur bantahan antikerajaan

Tawakkul telah mula menganjurkan bantahan mingguan di ibu negara yang mengutuk penindasan dilakukan kerajaan dan protes itu berterusan sehingga 2011 ketika kebanyakan negara rantau Arab dilanda gelombang Arab Spring.

Dalam kejadian menggemparkan pada 2010, beliau nyaris maut selepas seorang wanita cuba untuk menikamnya dengan jambiya (pisau tradisional Yaman), namun tindakannya berjaya dihalang oleh kumpulan penyokong Tawakkul.

Pada Januari 2011, beliau pernah ditahan oleh pihak berkuasa tetapi dibebaskan kira-kira 36 jam kemudian selepas berita penangkapannya tersebar secara meluas di media.

Selepas dibebaskan, Tawakkul tetap menyertai protes di ibu negara dan beliau menggesa Hari Kemarahan diadakan pada 3 Februari 2011 bagi memberi tekanan kepada Ali untuk berundur. Perjuangan wanita itu bersama kumpulan antikerajaan akhirnya sampai ke kemuncak selepas Ali akhirnya meletak jawatan pada akhir 2011.