Wednesday, 21 January 2015

Kediaman PM Yemen dikepung


21 Januari 2015 12:20 AM


SANAA 20 Jan. – Krisis politik di Yemen semakin meruncing apabila pemberontak Syiah Houthi mengepung kediaman Perdana Menteri, Khalid Bahah lewat malam semalam, walaupun satu perjanjian gencatan senjata dicapai antara kerajaan dan kumpulan pemberontak beberapa jam sebelumnya.
Kemelut terbaharu itu turut menyaksikan pertempuran tercetus antara tentera dan kumpulan pemberontak tersebut, menyebabkan sembilan orang terbunuh dan 67 orang lagi cedera, kebanyakan mereka orang awam, selepas militan Houthi menyerang konvoi yang mengiringi Khalid, menawan sebuah pangkalan tentera berdekatan Istana Presiden di ibu negara dan stesen televisyen tempatan.
Jurucakap kerajaan, Rajih Badi berkata, Khalid berada di Istana Republikan yang terletak di Dataran Tahrir apabila kumpulan militan yang dilengkapi senjata berat mengepung tiga pintu masuk kediaman tersebut.
Jelasnya, penge­pung­an tersebut dilakukan hanya beberapa jam selepas Khalid terselamat dalam kejadian serangan ke atas satu konvoi yang membawa beliau, semalam.
“Satu mesyuarat tergempar diadakan melibatkan semua pihak, awal hari ini bagi mencari jalan menamatkan keganasan di negara ini,” katanya.
Pemberontak Houthi menawan Sanaa sejak September lalu ke­rana menentang pembentukan kerajaan peralihan yang diterajui majoriti pengikut bekas Presiden Ali Abdullah Salleh yang meletak jawatan pada 2012 akibat didesak oleh rakyatnya sendiri.
Ketegangan di Yemen semakin memuncak apabila kumpulan pemberontak itu menculik ketua turus tentera, Ahmed Awad bin Mubarak pada Sabtu lalu, dipercayai sebagai tekanan kepada Presiden Abdarabuh Mansur Hadi untuk menggubal Perlembagaan.
Menurut sumber kerajaan, pemberontak Houthi telah membebaskan Ahmed Awad, namun tiada pengesahan tentang perkara tersebut. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kediaman-pm-yemen-dikepung-1.50250#sthash.HtXPjUh8.dpuf

No comments:

Post a Comment