Sanaa: Kumpulan militan Syiah bertempur dengan tentera Yaman dan menembak konvoi membawa perdana menteri negara itu semalam ketika tekanan terhadap kerajaan Presiden Abdrabuh Mansur Hadi semakin meningkat.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/24842#sthash.WwNdHSWz.dpuf
Kumpulan militan yang dikenali sebagai Houthi itu menembak konvoi membawa Perdana Menteri Khalid Bahah di Sanaa, tetapi dia terselamat, kata Menteri Penerangan Nadia Sakkaf.
Serangan berlaku selepas pertempuran sengit meletus berhampiran istana presiden awal semalam dan selepas mesyuarat dengan Abdrabuh di kediamannya di barat Sanaa.
Pejabat presiden mengeluarkan kenyataan menggesa gencatan senjata dikuatkuasakan serta-merta, tetapi pertempuran berterusan.
Yaman dilanda kekacauan sejak Houthi menguasai Sanaa September lalu, sekali gus meningkatkan kebimbangan dunia Arab, khususnya Arab Saudi yang bersempadan dengannya.
Bunyi letupan dan tembakan kedengaran sementara penduduk melarikan diri, meninggalkan kediaman masing-masing untuk mencari tempat lebih selamat.
Saksi berkata, peperangan meletus awal semalam selepas kumpulan itu mengerahkan anggota tambahannya berhampiran istana presiden.
Tindakan itu menyebabkan pasukan pengawal presiden mengerahkan lebih ramai anggotanya ke jalan raya sekeliling istana dan pejabat Abdrabuh.
Seorang pegawai keselamatan berkata, tentera bertindak demikian selepas militan Houthi mula mengadakan sekatan jalan raya berhampiran istana presiden.
Setakat ini belum ada laporan mengenai kemalangan jiwa ekoran pertempuran yang meletus. Bagaimanapun, dua militan Houthi dilapor cedera.
Ketegangan meningkat di Sanaa sejak Houthi menculik ketua turus tentera, Ahmed Awad bin Mubarak dalam usaha untuk memaksanya mengubah rangka perlembagaan.
Penculikan itu dilakukan sejurus sebelum satu mesyuarat mengenai perlembagaan yang dicadangkan, yang akan menyaksikan Yaman dibahagikan kepada enam wilayah.
Houthi, penduduk Yaman berfahaman Syiah, berasal dari utara Yaman dan memerangi kerajaan pusat sejak 10 tahun lalu menolak cadangan berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 4:45 AM
No comments:
Post a Comment