SANAA 25 Jan. – Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam pertempuran yang meletus antara anggota pemberontak Huthi dengan anggota puak di sebuah kampung utara bandar Rada di tengah Yemen, semalam.
Pertempuran di Dar Al-Najd itu, menyaksikan lima anggota pemberontak dan empat anggota puak tersebut maut ketika ribuan penduduk Yemen mengadakan demonstrasi di Sanaa bagi membantah penguasaan kumpulan pemberontak di ibu negara ini.
Menurut saksi, lebih 10,000 penduduk berarak dari Universiti Sanaa ke arah kediaman Presiden Abdrabuh Mansur Hadi yang meletak jawatan dua hari lalu, sebelum berpatah balik sambil melaung-laungkan slogan mengecam pemberontak Huthi dan militan al-Qaeda.
Menurut portal Al Jazeera, wanita dan kanak-kanak turut menyertai demonstrasi itu bagi menuntut pembentukan ‘satu kerajaan sebenar’ dan membakar gambar pemimpin kumpulan Huthi, Abdulmalek al-Huthi.
No comments:
Post a Comment