![]() |
Asap tebal boleh dilihat di satu kawasan di Sanaa yang dikawal Houthi selepas serangan udara pimpinan Arab Saudi baru-baru ini. Reuters
Kumpulan pemberontak Syiah Houthi di negara ini dilihat menolak usaha damai yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila melancarkan serangan termasuk peluru berpandu di beberapa lokasi di sempadan Yemen-Arab Saudi, semalam, yang menyaksikan 14 orang termasuk empat askar tentera Arab Saudi terbunuh.
Kumpulan pemberontak yang setia kepada bekas Presiden Yemen, Ali Abdullah Salleh tersebut turut dilaporkan melancarkan sebuah peluru berpandu jenis Scud ke arah barat Arab Saudi tetapi serangan berkenaan berjaya ditangkis.
Dalam kenyataan yang disiarkan oleh tentera bersekutu yang diketuai Arab Saudi, serangan itu dilancarkan di beberapa lokasi di Jazan dan Najran yang turut mengakibatkan 10 anggota pemberontak terbunuh.
Jelas kenyataan itu, serangan terbabit dirancang oleh anggota Pengawal Republikan yang setia kepada Ali dan mencetuskan pertempuran selama sejam.
Serangan darat tersebut merupakan yang kedua dilancarkan oleh pemberontak Houthi sejak Arab Saudi mengetuai negara-negara Arab mengebom kedudukan puak terbabit di Sanaa dan Aden.
Susulan serangan berkenaan, pemberontak Houthi turut melancarkan peluru berpandu Scud awal pagi hari ini, ke arah kawasan bandar Khamis Mushait, barat daya Arab Saudi.
Misil itu dilancarkan dari kedudukan pemberontak di Saada, yang merupakan kawasan pergunungan di utara Yemen.
“Tentera Udara Diraja Arab Saudi berjaya memintas peluru berpandu terbabit menggunakan sistem peluru berpandu pertahanan Patriot,” jelas kenyataan tentera bersekutu yang memerangi puak Houthi sejak 26 Mac lalu.
Kedua-dua kejadian terbabit berlaku selepas pemberontak Houthi mengesahkan kehadiran ke rundingan damai yang diusahakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva pada 14 Jun ini, sekali gus mengaburkan harapan untuk menamatkan krisis di Yemen. – AFP
No comments:
Post a Comment