![]() |
Anggota Jawatankuasa Pertahanan Popular, membawa rakan mereka ke hospital akibat cedera dalam pertempuran dengan anggota pemberontak Houthi di barat daya Yemen di bandar Taez pada 13 Jun lalu. REUTERS
SANAA 15 Jun - Jet pejuang tentera perikatan yang diketuai Arab Saudi, mengebom ibu negara Yemen, Sanaa malam tadi, kata seorang saksi ketika puak bertelagah di negara ini sedang bersiap sedia duduk di meja rundingan di Geneva, hari ini.
Serangan udara itu mengakibatkan letupan besar sebelum Subuh dan mengenai kedudukan musuh di selatan dan barat bandar itu dalam sebahagian daripada kempen tentera perikatan hampir 12 minggu untuk mensasarkan anggota pemberontak Houthi dan tentera yang setia kepada bekas Presiden, Ali Abdullah Saleh.
Rundingan yang dianjurkan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon di Geneva bertujuan mencari penyelesaian politik terhadap perang yang mengakibatkan ribuan kematian di Yemen.
Namun, masih tidak dapat dipastikan sama ada pihak bertelagah itu akan bertemu antara satu sama lain dalam rundingan berkenaan.
Setiap perwakilan dilapor akan berjumpa di bilik berasingan untuk berunding dengan pegawai PBB yang akan cuba membawa mereka lebih dekat dengan matlamat utama iaitu duduk semeja bagi dialog yang lebih serius.
Bagaimanapun, hanya terdapat isyarat kecil setakat ini yang menunjukkan kumpulan pemberontak Houthi yang disokong Teheran dan Ali Abdullah atau Presiden yang hidup dalam buangan, Abdrabbuh Mansour Hadi sedia untuk bertolak ansur selepas perang itu mengakibatkan kebuntuan terutamanya selepas serangan Arab Saudi yang bermula 26 Mac lalu.
Sementara itu, kebanyakan negara-negara Barat menyokong kempen serangan udara oleh Riyadh sebagai cara untuk mengajak pemberontak Houthi ke meja rundingan.
Krisis kemanusiaan di Yemen diburukkan lagi dengan sekatan udara dan laut yang dikenakan bagi menghentikan penghantaran senjata kepada anggota kumpulan Houthi dan tentera Ali Abdullah yang turut menyekat akses bantuan makanan, perubatan dan minyak buat rakyat negara ini. – REUTERS
No comments:
Post a Comment