![]() |
Saudi meningkatkan serangan ke atas beberapa kawasan sekitar Yaman sejak minggu lalu |
SANAA - YAMAN. Sekurang-kurangnya 120 terkorban manakala lebih 150 lagi cedera dalam insiden serangan udara yang dilancarkan Arab Saudi di wilayah Taiz di barat daya Yaman.
Rangkaian televisyen satelit, al-Masirah melaporkan kira-kira 200 rumah penduduk di daerah al-Mukha terletak 346 kilometer di selatan ibu negara dibedil, lewat kelmarin.
"Kebanyakan mayat mangsa termasuk wanita dan kanak-kanak ditemui dalam keadaan rentung. Anggota penyelamat dan ambulans juga sukar untuk masuk ke lokasi kejadian akibat bedilan bertalu-talu.
"Angka korban dijangka meningkat kerana usaha mencari dan menyelamat (Sar) masih giat dilakukan," menurut laporan itu lagi.
Menurut saksi, serangan tersebut menyasarkan kawasan didiami jurutera dan kakitangan stesen jana kuasa serta beberapa keluarga pelarian.
Dalam insiden berasingan, beberapa orang awam maut selepas tentera Saudi membedil beberapa kawasan di daerah Dhi Naim di selatan wilayah Bayda dan kawasan kejiranan di daerah al-Ashah di barat laut wilayah Amran. - Press TV