Beliau merupakan seorang daripada rakyat Yemen yang disenarai hitam oleh Majlis Keselamatan PBB pada November 2014 kerana didakwa mengancam keamanan dan kestabilan serta menghalang usaha pembaharuan politik.
Sementara itu, tentera bersekutu diketuai Arab Saudi mengumumkan gencatan senjata selama lima hari di Yemen, berkuat kuasa lewat malam ini (Ahad) bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke negara ini.
Menurut kenyataan rasmi daripada Agensi Berita Arab Saudi SPA, di bawah gencatan senjata itu, tentera bersekutu meletakkan syarat, mereka berhak memantau aktiviti ketenteraan atau pergerakan pemberontak Houthi sepanjang gencatan senjata itu.
SPA melaporkan gencatan senjata itu diumumkan atas permintaan Presiden Yemen, Abdrabbuh Mansour Hadi yang kini melarikan diri ke Arab Saudi, bagi menghantar dan mengagihkan bantuan kemanusiaan dan perubatan secara maksimum kepada penduduk tempatan.
Baru-baru ini, pengikut yang setia kepada Abdrabbuh berjaya merampas sebahagian besar Pelabuhan Aden di selatan Yemen selepas empat bulan berperang.
Sebelum ini, dua gencatan senjata tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), gagal bertahan.
Mei lalu, tentera bersekutu bertindak melancarkan semula serangan udara selepas gencatan senjata dicabul selepas kumpulan pemberontak melancarkan beberapa serangan.
Pada 10 Julai lalu, gencatan senjata yang berlangsung selama enam hari juga gagal bertahan selepas berlaku pertempuran dan serangan udara oleh tentera bersekutu.
Sementara itu, serangan di bandar Mokhba berhampiran Taez, kelmarin mengorbankan 35 orang awam. – AFP/REUTERS