Sanaa: Kapal terbang pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi meneruskan serangan udara terhadap kedudukan pemberontak Houthi dan sekutunya, awal semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/63961#sthash.dUQ7YkDX.dpuf
Ia memberi tamparan baru kepada gencatan senjata yang diusahakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di negara yang jutaan penduduknya diancam kebuluran.
Serangan udara terbaru itu menyasarkan kubu kuat Houthi di Saada, utara Yaman dan juga kedudukan kumpulan pemberontak lain di selatan Sanaa dan Lah, wilayah di Yaman Selatan.
Menurut laporan, satu keluarga lapan orang terbunuh apabila kenderaan yang mereka naik dibom di wilayah al-Baida.
Dua orang awam juga maut dalam serangan di bandar Taiz.
Gencatan senjata kemanusiaan yang dicadangkan PBB secara teknikalnya berkuatkuasa tengah malam kelmarin dan dicadangkan berkekalan sehingga 17 Julai, hari terakhir Ramadan.
Bagaimanapun, gencatan senjata itu yang amat diperlukan untuk menyalurkan bahan makanan kepada populasi yang diancam kebuluran dicemari dengan serangan udara yang dilakukan Arab Saudi.
Pertempuran darat juga dilapor meletus di beberapa kawasan.
Gencatan senjata itu diisytihar Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon selepas Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi yang kini hidup dalam buangan dan Houthi memberi jaminan akan menghormatinya.
Bagaimanapun, pakatan Arab berkata, ia tidak menerima sebarang permintaan rasmi daripada kerajaan Abed Rabbo untuk mematuhi gencatan senjata berkenaan.
Jurucakapnya Brigadier Jeneral Ahmed Al-Assiri berkata, ia tidak terikat dengan persetujuan baru itu.
Ahmed juga berkata, pihaknya tidak berminat dengan gencatan senjata berkenaan dan menyifatkannya sebagai usaha sia-sia kerana pemberontak Houthi tidak menunjukkan komitmen untuk mematuhinya.
PBB minggu lalu mengisytiharkan Yaman berada dalam darurat tahap tiga, yang tertinggi pada skalanya dengan hampir separuh penduduk negara itu berdepan krisis makanan.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2015 @ 6:43 AM
No comments:
Post a Comment