SANAA - YAMAN. Kapal kargo pertama milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membawa bekalan bantuan akhirnya berjaya berlabuh di bandar selatan Yaman sejak negara itu mula bergolak pada akhir Mac lalu.

Kelmarin, Gabenor Aden. Nayef al-Bakri memberitahu kapal tersebut membawa bekalan penting yang disalurkan oleh Program Makanan Sedunia (WFP).

Sementara itu, jurucakap WFP, Reem Nada berkata, kira-kira 3,000 tan bekalan makanan turut dibawa dalam kapal tersebut dan akan diagihkan kepada 180,000 penduduk yang terjejas teruk di wilayah selatan Yaman.

"Sebelum ini, kami pernah cuba beberapa kali untuk masuk ke pelabuhan Aden, namun gagal kerana pertempuran sengit di bandar terbabit.

"Bantuan kecemasan ini amat diperlukan berikutan bekalan makanan semakin berkurangan akibat konflik yang semakin meruncing," jelasnya.

Menurut laporan PBB, sekurang-kurangnya 1,670 orang awam telah terkorban manakala 3,892 lagi cedera selepas operasi ketenteraan diketuai Arab Saudi dilancarkan untuk menyekat kemaraan pemberontak Houthi di negara itu pada 25 Mac lalu. - Press TV