![]() |
Penduduk Yemen memerhati sekumpulan pemberontak Houthi yang menaiki kenderaan tentera meninggalkan bandar Aden, selepas pasukan keselamatan Yemen berjaya menawan semula bandar tersebut, kelmarin. AGENSI
ADEN 15 Julai - Pasukan keselamatan Yemen berjaya menawan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Aden dan beberapa buah bandar daripada penguasaan pemberontak Houthi, semalam selepas berbulan-bulan menemui jalan buntu untuk menawan semula kawasan tersebut daripada pemberontak.
Penduduk Yemen dalam status yang dimuat naik dalam laman sosial melaporkan, kejayaan pasukan keselamatan itu disambut seperti pesta di beberapa buah bandar di selatan negara ini.
“Lapangan Terbang Antarabangsa Aden dan daerah Khormaksar bebas daripada penguasaan pemberontak Houthi hasil kerjasama antara tentera Yemen, angkatan tentera popular dan tentera negara-negara bersekutu,” kata kerajaan Yemen dalam satu kenyataan.
Stesen televisyen Maseera milik kumpulan pemberontak melaporkan, kepimpinan Houthi mengambil keputusan untuk keluar dari kawasan terbabit selepas berjaya membunuh anggota kumpulan militan al-Qaeda dan kumpulan militan Negara Islam (IS).
Beberapa keping gambar yang dikeluarkan oleh pengamal media di selatan Yemen turut menunjukkan kenderaan perisai sedang memantau situasi di jalan-jalan raya di Aden, dengan kebanyakan pertempuran berlaku di kawasan penempatan awam.
Pertempuran terbaharu itu berlaku susulan pembatalan perjanjian gencatan senjata yang dikelola Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Penduduk tempatan yang menyokong kepimpinan Presiden Abd Rabbuh Mansour Hadi kini menguasai daerah Khormaksar yang terletak di tengah-tengah Aden, manakala sumber perubatan melaporkan, pertempuran masih berlaku di sekitar kawasan pelabuhan.
Serangan udara tentera bersekutu diketuai Arab Saudi sepanjang minggu lalu juga sedikit sebanyak membantu tentera Yemen menawan semula kawasan yang ditawan kumpulan pemberontak yang mendapat sokongan Iran. – Agensi
No comments:
Post a Comment