![]() |
REUTERS - PENDUDUK Yemen berjalan berhampiran runtuhan bangunan selepas serangan udara pimpinan Arab Saudi di bandar Sanaa pada 3 Julai lalu.
SANAA – Jet-jet pejuang pakatan Arab Saudi mengebom ibu pejabat parti pimpinan bekas Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh yang bersekongkol dengan pemberontak Syiah Houthi, kata parti tersebut semalam.
Serangan sebelah malam itu mengenai ibu pejabat parti Kongres Umum Rakyat (GPC) yang meragut nyawa sebilangan pekerja dan pengawal di bangunan tersebut di selatan Sanaa, jelas pegawai GPC, Faeqa al-Sayed.
Pengeboman itu berlaku ketika sebilangan pemimpin GPC bertemu wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ismail Ould Cheikh Ahmed di bahagian lain Sanaa.
Faeqa menuduh serangan itu sebagai cubaan untuk menggagalkan misi wakil PBB berkenaan. Ismail tiba di Yemen kelmarin dan menyeru gencatan senjata perikemanusiaan diadakan selepas konflik di negara semenanjung Arab itu berlarutan selama beberapa bulan.
“Ketika kami sedang berunding dengan wakil PBB untuk mencari penyelesaian kepada krisis politik yang mengancam negara ini, pakatan Arab Saudi mengebom ibu pejabat parti kami, membunuh kakitangan dan pengawal serta memusnahkan bangunan tersebut,” kata Faeqa di laman berita GPC, Almotar.net.
Pakatan tentera yang dipimpin Arab Saudi memulakan kempen serangan udara ke atas pemberontak Houthi dan sekutu mereka pada Mac lalu selepas kumpulan itu menawan Sanaa dan mara ke selatan negara itu sehingga memaksa kerajaan sedia ada pimpinan Presiden Abedrrabo Masour Hadi melarikan diri ke Riyadh.
Lebih 21.1 juta penduduk iaitu melangkaui 80 peratus populasi Yemen kini memerlukan bantuan dengan 13 juta daripada mereka berdepan masalah kekurangan makanan.
Perangkaan PBB menunjukkan lebih 2,800 penduduk Yemen terbunuh sejak Mac lalu. Ali Abdullah yang memerintah selama 33 tahun sebelum digulingkan pada 2012 memberikan sokongan kepada pemberontak Houthi. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0707&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3f9W2gOwC
Hakcipta terpelihara

No comments:
Post a Comment