
Orang ramai berkumpul menyaksikan kawasan kediaman yang menjadi sasaran serangan pemberontak Houthi di daerah Dar Saad di Aden, yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 48 terbunuh dan lebih 170 orang lagi cedera, kelmarin. AGENSI
ADEN 20 Julai – Sekurang-kurangnya 48 orang terbunuh dan lebih 170 orang lagi cedera dalam serangan terbaru yang dilancarkan pemberontak Houthi di daerah Dar Saad di Aden, bandar kedua terbesar di Yemen, semalam.
Jurucakap perubatan berkata, pemberontak Syiah itu dibantu unit tentera bersekutu menyerang kawasan kediaman di pinggir utra bandar pelabuhan di selatan Yemen itu, menggunakan mortar serta roket Katyusha.
“Ini merupakan serangan kedua terburuk di Yemen setakat ini,” kata sumber yang enggan dikenali kepada DPA.
Pemberontak Houthi melancarkan serangan itu bagi menghapuskan tentangan daripada pihak kerajaan selepas mengepung mereka di daerah al-Tawahi yang terletak berhamiran bandar pelabuhan itu.
Jumaat lepas, Presiden Yemen dalam buangan, Abdrabbuh Mansour Hadi mendakwa pihaknya berjaya merampas kembali Aden daripada pemberontak Houthi, malah beberapa orang menteri kanannya dipercayai telah kembali ke bandar itu.
Sementara itu dalam perkembangan terbaharu, seorang wartawan tempatan melaporkan sekurang-kurangnya 13 orang terkorban dan 23 orang lagi cedera apabila tentera bersekutu diketuai Arab Saudi mengempur bandar Yarim di wilayah Ibb di tengah Yemen.
Sebanyak tujuh buah rumah ranap dalam serangan itu yang turut memusnahkan kem tentera Yemen di bandar itu.
Abdrabbuh Mansour melarikan diri ke Arab Saudi pada Mac lepas, ketika pemberontak Houthi menguasai sebahagian besar kawasan di Aden.
No comments:
Post a Comment