![]() |
Dua orang pemberontak Houthi berkawal di rumah kediaman Brigadier Khaled al-Anduli, seorang komander yang setia kepada pemberontak Houthi yang ranap dalam serangan tentera udara Arab Saudi di Sanaa, Yemen, kelmarin. REUTERS
ADEN 7 Julai - Hampir 100 orang dilaporkan terkorban dalam serangan udara yang dilancarkan oleh tentera bersekutu di negara ini, semalam ketika Arab Saudi memperhebatkan serangan ke atas kedudukan pemberontak Houthi, dalam tindakan yang dilihat mampu mempercepatkan perjanjian gencatan senjata.
Agensi berita Saba melaporkan, seramai 54 orang terkorban dalam siri serangan udara di wilayah Anbar, utara Sanaa, dengan 40 daripada mereka terkorban ketika sedang membeli-belah di Lower Joub, daerah Eyal Yazeed.
Mereka yang terkorban dalam serangan itu termasuklah wanita dan kanak-kanak.
Saba melaporkan, serangan udara yang diketuai oleh Arab Saudi di sebuah pasar daging di bandar al-Foyoush, selatan Yemen mengakibatkan lebih 40 orang terkorban.
Penduduk tempatan berkata, 30 orang lagi terbunuh dalam serangan ke atas kubu kumpulan pemberontak Houthi terletak antara bandar Aden dan Lahj, termasuk 10 pemberontak Houthi.
Dalam perkembangan lain, utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Yemen, Ismail Ould Cheikh Ahmed mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai tertinggi pemberontak Houthi untuk mencari jalan mencapai gencatan senjata bagi membolehkan bekalan perubatan dihantar kepada penduduk Yemen yang cedera.
Jurucakap Presiden, Abd-Rabbu Mansour Hadi yang kini melarikan diri ke Riyadh, Rajeh Badi berkata, usaha sedang dijalankan bagi menguatkuasakan resolusi PBB yang digubal pada April lalu yang menggesa pemberontak Houthi menamatkan pemberontakan mereka, sekali gus membolehkan bantuan perubatan diagih-agihkan kepada penduduk.
“Kami sedang berunding untuk memastikan perjanjian gencatan senjata dapat dicapai segera,” jelas Rajeh. – REUTERS
No comments:
Post a Comment