14 Julai 2015 12:12 AM
SANAA 13 Julai – Beberapa hari menjelang sambutan Aidilfitri, empat buah negara Islam di Asia Barat iaitu Yemen, Iraq, Libya, dan Afghanistan terus bergolak dengan beberapa siri serangan bom dan pertempuran sehingga menyaksikan 103 orang terkorban, semalam.
![]() |
Seorang lelaki melihat sebuah kereta yang hangus terbakar selepas berlaku serangan pengebom berani mati di Baghdad, Iraq, semalam. - REUTERS |
Di Yemen, sebanyak 45 orang terkorban dalam serangan bom dan pertempuran termasuk di Aden, sekali gus mencabuli perjanjian gencatan senjata yang dikelola oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Pertempuran menyaksikan 30 anggota pemberontak Houthi terkorban, manakala baki lima mangsa adalah anggota tentera negara-negara bersekutu,” jelas kerajaan Yemen dalam satu kenyataan.
Selain itu, sumber perubatan memberitahu, sekurang-kurangnya 10 orang terkorban dalam serangan udara yang dilancarkan oleh tentera bersekutu sepanjang malam semalam di beberapa buah kawasan di negara ini.
Sementara itu, beberapa siri serangan bom termasuk dua serangan pengebom berani mati di kawasan penempatan penduduk fahaman Syiah di Baghdad, mengakibatkan sekurang-kurangnya 21 orang terkorban dan 62 lagi cedera.
Menurut Kementerian Dalam Negeri, dua letupan berlaku di kawasan timur laut Al-Shaab telah mengakibatkan 11 kematian dengan tiga orang daripada mereka merupakan anggota polis.
Selain itu, letupan bom berkembar yang berlaku berhampiran sebuah pasar turut mengakibatkan 23 orang cedera, sebelum seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di Dataran Aden dan menyebabkan enam orang terkorban.
Dalam pada itu di Libya, empat orang terkorban, manakala 15 lagi cedera apabila sebuah roket dilancarkan ke kawasan penempatan di bandar pelabuhan Benghazi.
Sehingga kini tidak pihak mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan tersebut.
Di Afghanistan, sekurang-kurangnya 33 orang awam terkorban dan enam lagi cedera selepas sebuah kereta meletup dalam serangan di luar sebuah pangkalan tentera di bandar Khost, timur negara itu.
Ketua Polis Khost, Faizullah Ghairat berkata, kereta berkenaan meletup berhampiran khemah kawalan di hadapan Kem Tentera Chapman ketika orang ramai bergegas pulang ke rumah untuk berbuka puasa. – AFP/REUTERS
No comments:
Post a Comment