Sunday, 31 May 2015

Presiden Abdrabbuh tidak 
ada lagi tempat di Yemen


ABU DHABI 30 Mei –Presiden Yemen yang hidup dalam buangan, Abdrabbuh Mansour Hadi didakwa tidak lagi mempunyai tempat dalam politik negara itu, kata bekas Presiden negara itu, semalam.
Dalam satu temubual dengan televisyen al Mayadeen, Ali Abdullah Saleh berkata, hubungan Hadi dengan politik Yemen berakhir apabila kumpulan pemberontak Houthi menguasai ibu negara Sanaa, mendorong Abdrabbuh melarikan diri.
"Kedudukan beliau (Abdrabbuh) sebagai Presiden berakhir sepenuhnya apabila beliau (Abdrabbuh) melarikan diri ke Sanaa dan Aden sebelum beliau melarikan diri ke Riyadh,’’ kata Ali.
Abdrabbuh melarikan diri dari Sanaa pada Mac lalu berikutan penguasaan pemberontak Houthi yang mendapat sokongan Iran ke atas ibu negara Yemen itu sejak September lalu sebelum meningkatkan kemaraannya di tengah dan selatan Yemen.
Tindakan pembe­rontak Houthi itu mendorong kempen serangan udara diketuai Arab Saudi dalam usaha mengembalikan kuasa Abdrabbuh, manakala tentera yang setia kepada Ali berjuang bersama pemberontak Houthi.
Ali dalam pada itu berkata, pihak-pihak yang menghadiri rundingan di Riyadh melakukan pengkhianatan kerana mereka bersetuju membenarkan Arab Saudi melancarkan serangan ke atas Yemen.
"Mereka yang menghadiri persidangan di Riyadh telah menghina diri sendiri, untuk tidak kembali ke Yemen ketika mereka merestui serangan,’’ kata Ali merujuk kepada rundingan di Riyadh antara puak-puak di Yemen awal bulan ini yang dipulaukan pemberontak Houthi.
Riyadh menganjurkan rundingan antara puak-puak di Yemen awal bulan ini yang dipulaukan pemberontak Houthi.
Ali berkata, beliau tidak dijemput untuk mengambil bahagian dalam rundingan terbaharu yang berlangsung di Oman dan dihadiri kumpulan Houthi.
"Kami adalah yang tera­khir tahu tentang (rundingan di) Oman. Ansarullah (Houthi) tidak memaklumkan kepada kami mengenainya,’’ tambahnya.
Oman, yang merupakan jiran Yemen, merupakan satu-satunya negara Teluk dalam kalangan enam negara anggota yang membentuk Majlis Kerjasama Teluk yang tidak menyertai kempen ketenteraan di Yemen yang diketuai Arab Saudi.
Ali mendakwa rundingan di Oman juga adalah lakonan AS dan Iran.
“Saya sangat pasti AS dan Iran mahu Oman mengadakan run­dingan itu antara Houthi dan Arab Saudi,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/presiden-abdrabbuh-tidak-8232-ada-lagi-tempat-di-yemen-1.97421#sthash.tirDkeA8.dpuf

Saturday, 30 May 2015

Lagi masjid Syiah dibom

Riyadh: Empat orang terbunuh selepas seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di tempat letak kereta sebuah masjid Syiah di bandar Dammam, selatan Arab Saudi, semalam.
Kumpulan militan Negara Islam (IS) mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu, yang kedua dalam masa seminggu.
Agensi Saudi Press melaporkan, penyerang meletakkan keretanya di depan Masjid Imam Hussein ketika solat Jumaat.
Penyerang itu meletupkan dirinya selepas beberapa pengawal menghampiri kenderaan berkenaan.
“Syukur kepada Tuhan, anggota keselamatan berjaya menggagalkan serangan pengganas itu,” kata seorang pegawai.
Seorang lagi pegawai memberitahu, penyerang memakai purdah berwarna hitam yang biasa dipakai wanita Arab Saudi dan meletupkan dirinya selepas dihampiri beberapa pengawal keselamatan.
Bagaimanapun, beberapa saksi memberitahu, serangan itu digagalkan sekumpulan lelaki yang curiga melihat penyerang itu.
Pihak berkuasa melarang wanita datang ke masjid ketika solat Jumaat kerana kesukaran untuk membuat pemeriksaan ketat terhadap mereka.
Larangan itu dikeluarkan kerana bimbang serangan berdarah ketika solat Jumaat di sebuah masjid Syiah seminggu lalu berulang.
Serangan yang berlaku di kampung al-Qudeeh di wilayah Qatih itu menyebabkan 21 orang maut.
IS juga mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:08 AM


KEADAAN di luar masjid Syiah di Dammam selepas serangan berkenaan, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54365#sthash.BrdmHEho.dpuf

Serangan berani mati di masjid Syiah 4 maut


seorang penduduk Arab Saudi memeriksa mayat seorang lelaki yang

Seorang penduduk Arab Saudi memeriksa mayat seorang lelaki yang maut dalam kejadian letupan berani mati di masjid Syiah di Dammam, semalam. REUTERSTEMPLATE OUT
RIYADH 29 Mei – Empat orang terkorban selepas sebuah kereta yang disarat dengan bahan peledak meletup di luar sebuah masjid pengikut Syiah, di sini hari ini dalam serangan yang disifatkan oleh pihak berkuasa sebagai tindakan `bodoh’.
Agensi berita Arab Saudi memetik kenyataan jurucakap Kementerian Dalam sebagai berkata, pihak berkuasa berjaya menggagalkan serangan pengganas yang menjadikan orang awam sebagai sasaran ketika sedang berlangsungnya solat Jummat di Masjid Al-Anoud dekat Dammam.
Katanya, letupan berlaku sejurus selepas pengawal keselamatan menghampiri kereta yang sedang dipandu menuju ke kawasan tempat letak kereta.
“Kenderaan meletup ketika pengawal keselamatan cuba menghampiri kereta berkenaan, empat terkorban dalam kejadian itu termasuk pemandu kereta tersebut.
“Siasatan sedang giat dijalankan bagi mengetahui motif sebenar kejadian dan siapa yang bertanggungjawab,” jelas jurucakap tersebut.
Saksi kejadian, Nassima al-Sada berkata, kenderaan yang dipandu penyerang berani mati itu meletup selepas pasukan keselamatan cuba menghalangnya daripada memasuki kawasan yang dikhaskan untuk kaum wanita di masjid berkenaan.
Dalam perkembangan lain, kumpulan militan Negara Islam (IS) mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu – AFP/REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/serangan-berani-mati-di-masjid-syiah-4-maut-1.97267#sthash.KGsMK9xg.dpuf

Friday, 29 May 2015

40 pemberontak Yaman maut di Aden

JUMAAT, 29 MEI 2015 @ 11:00 AM

 Seorang pemberontak anti-Houthi mengawal di bandar pelabuhan selatan Yaman Aden. - Foto REUTERS

 ADEN: Serangan udara pakatan negara Arab ke atas pemberontak Houthi di Aden dan pertempuran di darat semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 40 anggota militan itu terbunuh, menurut timbalan gabenor bandar itu. Penduduk Aden melaporkan serangan udara tanpa henti ke atas pemberontak dan pasukan tentera yang setia dengan bekas presiden di seluruh bandar itu. Serangan udara yang diketuai Arab Saudi ke atas pasukan tentera yang setia kepada bekas Presiden, Ali Abdullah Saleh bermula pada 26 Mac dalam usaha mengembalikan kuasa Presiden Abedrabbo Mansour Hadi yang mendapat sokongan PBB. "Tentera pakatan melancarkan serangan ke atas pemberontak di Aden...," menurut Timbalan Gabenor, Naef al-Bakri. Bakri tidak memberikan butiran operasi itu tetapi berkata pesawat perang memusnahkan beberapa kenderaan pemberontak dan pos kawalan di utara dan timur laut Aden. "Sekurang-kurangnya 40 pemberontak terbunuh manakala berpuluh lagi cedera," katanya. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/57885

Dua pengawal Saudi terbunuh di sempadan

Riyadh: Dua pengawal sempadan Saudi terbunuh manakala lima yang lain cedera dalam serangan meriam yang dilancarkan dari Yaman di sempadan kedua-dua negara itu.
Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri yang disiarkan agensi berita rasmi Saudi (SPA), kejadian berlaku di Zahran Selatan, Asir, wilayah yang bersempadan dengan Yaman, kelmarin.
Kematian terbaru itu meningkatkan jumlah askar dan orang awam Saudi yang terbunuh di kawasan sempadan kedua-dua negara itu kepada sekurang-kurangnya 30 orang sejak pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi melancarkan serangan udara ke atas pemberontak Houthi di Yaman pada 26 Mac lalu.
Pakatan Arab melancarkan serangan ke atas Houthi dan sekutunya bagi menyokong tentera prokerajaan di negara berkenaan.
Tindakan itu mencetuskan sengketa bersenjata antara pemberontak itu dan tentera Saudi di sepanjang sempadan.
Bagaimanapun, sebahagian besar yang terbunuh di Saudi ialah orang awam.
Di Yaman, pertempuran selama beberapa minggu antara tentera prokerajaan dan pemberontak menyebabkan lebih 2,000 orang terbunuh dan lebih setengah juta lagi meninggalkan kediaman masing-masing untuk ke kawasan lebih selamat. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 12:37 PM


SEORANG kanak-kanak memungut permainan dari runtuhan rumahnya yang musnah dalam serangan udara di Saada, bandar di timur laut Yaman, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54233#sthash.KBFxWdrZ.dpuf

Thursday, 28 May 2015

Rundingan damai akhiri krisis Yaman tertangguh lagi - PBB

RABU, 27 MEI 2015 @ 8:48 AM

NEW YORK: Satu persidangan hasil inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke arah mewujudkan keamanan di Yaman ditangguh berikutan permintaan kerajaan Yaman dan beberapa pihak agar diberi lebih masa untuk membuat persiapan. Penangguhan itu diumumkan PBB semalam apabila rundingan damai itu sepatutnya bermula esok di Genewa. Beberapa pegawai Yaman berkata, sejak minggu lalu mereka sudah dimaklumkan bahawa rundingan itu ditunda, namun kenyataan PBB semalam adalah pengesahan pertama dikeluarkan. Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon mengarahkan penangguhan itu, demikian menurut jurucakapnya, Stephane Dujarric. Beliau berkata, Ban kini sedang giat berusaha untuk memberi keyakinan supaya rundingan dapat dimulakan secepat mungkin. Rundingan itu dianggap berfaedah untuk mengakhiri siri serangan dan pengeboman dilakukan tentera pakatan diketuai Arab Saudi ke atas kumpulan pemberontak Houthi sejak beberapa minggu lalu. Dujarric berkata, Ban kecewa kerana rundingan tajaan PBB itu tidak berjalan seperti dirancang dan sekali lagi meminta semua pihak yang terbabit dengan krisis Yaman agar mengambil bahagian demi semangat setiakawan. Ketika PBB merayu semua pihak menyertai rundingan itu tanpa mengenakan sebarang syarat, Presiden Yaman, Abed Rabbo Mansour Hadi menegaskan kerajaannya menuntut agar pemberontak Houthi terlebih dulu berundur dari beberapa bandar yang ditawan, termasuk ibu negara Sanaa. Pemberontak Houthi itu menyokong rundingan berkenaan dan berkata mereka akan mengambil bahagian. Ketua Houthi, Abdul-Malek al-Houthi menjelaskan sebelum ini rundingan berkenaan satu-satunya pilihan untuk menamatkan krisis berpanjangan. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/57462

70 korban serangan terbaru

Sanaa: Serangan udara terbaru pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi ke atas sebuah pangkalan tentera di Sanaa menyebabkan sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh dan lebih 100 cedera.
Agensi berita Yaman Saba melaporkan, jumlah itu kiraan awal dan jumlah kematian mungkin meningkat.
Sementara itu, 30 penduduk Yaman berhampiran sempadan kedua-dua negara itu mati dalam serangan berasingan yang dilancarkan jet pejuang Saudi.
Penduduk berkata, serangan itu menyasarkan daerah kabilah yang menyokong pemberontak Houthi.
“Penduduk Houthi menyerang kedudukan tentera di sempadan Saudi dari kawasan itu. Tetapi jet Saudi gagal menyasarkan mereka, sebaliknya mengebom penduduk kampung,” kata seorang penduduk.
Puluhan pesawat yang diketuai Arab Saudi mengambil bahagian dalam kedua-dua serangan semalam.
Sasaran utama mereka ialah sebuah kem komando polis di tengah Sanaa, berhampiran istana presiden.
Serangan awal pagi itu menyebabkan kepulan asap hitam menyelubungi seluruh kawasan berkenaan hingga menyukarkan pergerakan ambulans untuk mengangkut mangsa yang cedera.
Sebahagian besar penduduk Sanaa terpaksa berlindung di tingkat bawah bangunan sementara kedai ditutup dan jalan raya lengang.
Saksi juga berkata, pesawat turut mengebom sebuah pangkalan tentera di barat Hodeida yang dikuasai Houthi serta kubu kuat pemberontak berkenaan di Saada dan Hajjah.
Serangan udara yang dilancarkan sejak 26 Mac lalu berjaya memusnahkan sebahagian kedudukan pemberontak, tetapi gagal untuk mengekang kemaraan kumpulan itu ke Aden, bandar strategik di selatan Yaman.
Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam berkata, lebih 2,000 orang mati dalam konflik senjata di negara itu sepanjang dua bulan lalu.
Ketua agensi itu Margaret Chan berkata, 8,000 orang termasuk ratusan kanak-kanak dan wanita cedera.
Menurutnya, antara yang mati itu, termasuk seluruh keluarga wanita berusia 65 tahun, Fathiya.
Wanita berkenaan kehilangan 13 anggota keluarganya dalam satu serangan.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 7:01 AM


SEORANG lelaki meninjau keadaan bangunan kediaman yang hampir musnah selepas serangan udara yang diketuai Arab Saudi di bandar Saada, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53897#sthash.gVXGGCtg.dpuf

Arab Saudi bom pelabuhan tentera terbesar Yemen


Seorang pegawai perubatan merawat penduduk yang cedera akibat

SEORANG pegawai perubatan merawat penduduk yang cedera akibat terkena letupan peluru mortar semasa pertempuran antara kumpulan pemberontak Houthi dan pejuang Jawatankuasa Pertahanan Selatan di bandar Taiz, kelmarin. REUTERS
KAHERAH 27 Mei – Jet pejuang dan kapal perang tentera perikatan diketuai Arab Saudi, hari ini mengebom pelabuhan tentera terbesar Yemen di bandar Hodaida di Laut Merah, mengakibatkan kerosakan teruk ke atas kemudahan di pelabuhan itu termasuk dua kapal perang musnah.
Satu daripada kapal itu yang diberi nama Bilqis musnah dan tenggelam, manakala lima bot bersenjata mengebom bangunan pentadbiran di pangkalan itu, kata pegawai tempatan ketika dihubungi dari sini.
Bandar dan pangkalan tentera di bandar itu dilapor dikuasai pemberontak Houthi.
Dalam perkembangan berasingan, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon meminta utusan khasnya ke Yemen supaya menangguh rundingan damai Geneva yang dijadual diadakan pada 28 Mei ini.
“Setiausaha Agung agak kecewa kerana agak mustahil untuk melaksanakan sebarang inisiatif penting pada waktu terdekat ini dan mengulangi permintaannya kepada semua pihak supaya menyertai rundingan anjuran PBB tanpa menetapkan sebarang syarat,’’ kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/arab-saudi-bom-pelabuhan-tentera-terbesar-yemen-1.96554#sthash.XMEGOB4F.dpuf

Wednesday, 27 May 2015

16 juta penduduk Yaman terputus air bersih

Sanaa: Hampir dua pertiga penduduk Yaman terputus bekalan air bersih ekoran perang yang masih berlarutan dan serangan udara tentera pakatan Arab terhadap kumpulan pemberontak di negara itu, kata agensi bantuan, Oxfam, semalam.
Ketua pengarah Oxfam di Yaman, Grace Ommer berkata, serangan udara dan pertempuran darat yang berterusan serta kekurangan bahan api menyebabkan tiga juta penduduk Yaman tidak mendapat bekalan air bersih.
“Ia meningkatkan jumlah penduduk yang tidak mendapat bekalan air bersih dan tandas kepada 16 juta orang.
“Jumlah itu bersamaan dengan jumlah penduduk Berlin, London, Paris dan Rom,” katanya dalam satu kenyataan.
Ujarnya, sebelum krisis tercetus, separuh daripada penduduk negara miskin berkenaan tidak mendapat bekalan air bersih.
Pada 26 Mac lalu, pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi melancarkan serangan udara terhadap militan Houthi dan unit tentera yang setia pada bekas Presiden Ali Abdullah Saleh.
Kumpulan pemberontak menakluki Sanaa, ibu negara Yaman pada September tahun lalu menyebabkan Presiden Abedrabbo Mansour Hadi terpaksa melarikan diri ke Riyadh.
Menurut Oxfam, serangan udara dan pertempuran yang berlarutan selama beberapa minggu menyebabkan sebahagian besar sistem rangkaian air rosak.
“Penduduk terpaksa meminum air yang tidak selamat dan mereka berisiko mendapat penyakit yang mengancam nyawa seperti malaria, taun dan cirit-birit,” kata organisasi itu. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 7:27 AM


PASUKAN perubatan cuba merawat mangsa yang cedera dalam pertempuran antara pemberontak Houthi dengan pejuang yang menyokong kerajaan di Taiz, bandar di barat daya Yaman, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53646#sthash.0PKvFwx9.dpuf

16 juta rakyat Yemen tiada air bersih


SANAA – Hampir dua pertiga penduduk Yemen yang dilanda peperangan tiada bekalan air bersih selepas dua bulan pakatan Arab Saudi melancarkan kempen serangan udara ke atas tentera pemberontak, kata agensi bantuan Oxfam semalam.
“Serangan udara berterusan, pertempuran di darat dan kekurangan bahan api menyebabkan seramai 3 juta lagi penduduk Yemen kini tanpa bekalan air minuman. Perkembangan itu meningkatkan jumlah keseluruhan penduduk tanpa bekalan air bersih dan sanitasi kepada sekurang-kurangnya 16 juta orang,” kata Pengarah Oxfam Yemen, Grace Ommer dalam satu kenyataan.
“Jumlah itu menyamai gabungan penduduk di Berlin, London, Paris dan Rom,” tambahnya dalam kenyataan tersebut.
Malah, sebelum pertempuran di Yemen meningkat, separuh daripada populasi negara itu tidak mempunyai akses kepada air bersih.
Pakatan yang diketuai oleh Arab Saudi melancarkan serangan udara sejak 26 Mac lalu untuk meme­rangi pemberontak Houthi dan tentera yang setia kepada bekas Presiden Ali Abdullah Saleh.
Arab Saudi sebaliknya mahu mengembalikan pemerintahan Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi yang digulingkan pembe­rontak Houthi.
Kumpulan pemberontak itu menakluki ibu kota Yemen, Sanaa pada September lepas dan menguasai bahagian selatan Yemen sehingga memaksa Abd-Rabbu melarikan diri ke Arab Saudi. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0527&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3bI1hgi6b 
Hakcipta terpelihara 

Houthi tawan pangkalan tentera Arab Saudi


Kepulan asap kelihatan dari Istana al-Qahira salah sebuah lokasi

Kepulan asap kelihatan dari Istana al-Qahira salah sebuah lokasi bersejarah di bandar Taiz, Yemen, akibat terkena bedilan, baru-baru ini selepas pemberontak Houthi berjaya menawan bandar berkenaan. AGENSI
SANAA 26 Mei – Pemberontak Houthi dan sekutunya menawan sebuah pangkalan tentera Arab Saudi, lewat semalam ketika Riyadh meneruskan serangan udara ke atas Yemen.
Laman web Presstv melaporkan, anggota militan daripada pergerakan Ansarullah dan militia daripada Jawatankuasa Penentang Popular menawan pangkalan itu di wilayah al-Makhrouq, barat daya Arab Saudi dalam satu operasi sebagai tindakan balas terhadap serangan Arab Saudi ke atas Yemen.
Serangan itu dilancarkan selepas pemberontak Houthi menyerang sebuah lagi pangkalan tentera Arab Saudi terletak berhampiran kawasan sempadan Yemen dekat Tuwayliq, wilayah Sa’ada, kelmarin.
Dalam perkembangan lain, kumpulan pemberontak Houthi bersama anggota militia Jawatankuasa Penentang Popular berjaya memusnahkan empat buah kereta kebal milik tentera Arab Saudi selepas melancarkan serangan besar-besaran di barat laut bandar Jizan.
Sementara itu, sekurang-kurangnya sembilan orang terkorban dalam serangan udara yang dilancarkan oleh Arab Saudi di daerah Jabal Sabir, barat luat wilayah Ta’izz, hari ini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/houthi-tawan-pangkalan-tentera-arab-saudi-1.96214#sthash.AKGlAPBq.dpuf

Tuesday, 26 May 2015

Rundingan damai Yaman ditunda


ADEN - YAMAN. Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertujuan mengembalikan semula keamanan di Yaman telah ditangguhkan, menurut jurucakap agensi antarabangsa itu, kelmarin.

"Saya mengesahkan mesyuarat tersebut telah ditunda ke tarikh lain yang akan diumumkan kelak," katanya tanpa memberi butiran lanjut.

Keputusan itu dibuat kira-kira empat hari sebelum rundingan damai tersebut dijadualkan berlangsung di Geneva pada Khamis ini.

Sementara itu, jurucakap kerajaan, Raja Badi menegaskan Resolusi 2216 yang diluluskan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) pada April lalu perlu dilaksanakan untuk menjayakan rundingan damai tersebut.

"Proses rundingan itu mungkin sukar jika situasi masih tegang di Yaman," tegasnya.

Difahamkan, kandungan surat yang dihantar oleh Presiden Yaman, Abed Rabbo Mansour Hadi kepada Setiausaha Agung menuntut kumpulan pemberontak Houthi supaya berundur dari wilayah diduduki mereka di Yaman seperti terkandung dalam Resolusi 2216.

Lebih 2,000 terkorban di Sanaa sejak konflik itu semakin meruncing susulan daripada tindakan ketenteraan dilancarkan gabungan Arab pada Mac lalu. - AFP

Monday, 25 May 2015

Pesawat F-16 Saudi ditembak jatuh

Jet Pejuang F-16
Gambar Hiasan





SANAA - YAMAN. Angkatan pertahanan udara Yaman dilapor menembak jatuh sebuah pesawat tempur milik Arab Saudi di wilayah barat laut Sanaa.

Jet pejuang F-16 itu telah ditembak jatuh dan terhempas di kawasan Bayt Khayran dekat daerah Bani Harith.

Menurut Press TV, jet pejuang berkenaan dilapor melancarkan beberapa serangan udara ke atas pangkalan udara al-Dailami.

Pada 11 Mei lalu, pemberontak menembak jatuh sebuah jet pejuang Maghribi selepas didakwa menceroboh ruang udara Yaman di Lembah Noshour.

Dalam perkembangan berkaitan, Arab Saudi mengebom depoh senjata kumpulan pemberontak Houthi di Ghula, wilayah Omran di utara Sanaa, semalam.

Ia disusuli oleh serangan darat ke atas kemudahan penyimpanan senjata di Sanaa yang dipercayai menyebabkan kematian selain serangan ke atas pangkalan tentera di Dhabwa yang kini dikuasai puak pemberontak yang disokong Iran.

Raja Salman dukacita masjid Syiah dibom


DUBAI 25 Mei - Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman melahirkan rasa dukacita berhubung kejadian pengeboman berani mati di sebuah masjid Syiah, di timur negara itu, yang mengorbankan 21 orang, kelmarin.
Raja Salman berkata, mereka yang terlibat dalam serangan itu akan diheret ke muka pengadilan.
“Kami bersedih dengan kekejaman yang dilakukan pengganas yang bercanggah dengan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan,” ujarnya dalam satu perutusan kepada Menteri Dalam Negeri, Putera Mahkota, Mohammed bin Nayef.
Arab Saudi, kelmarin mengesahkan serangan itu mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS), dalam apa yang disifatkan oleh Kementerian Dalam Negeri sebagai cubaan untuk mewujudkan perpecahan.
Ia merupakan serangan terburuk di negara ini pada tahun ini dan merupakan kali pertama kumpulan militan IS melancarkan serangan ke atas Arab Saudi.
“Namanya (penyerang) ialah Salih bin Abdulrahman Salih al-Ghishaami, seorang warga Arab Saudi,” kata Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan.
“Dia (Salih) dikehendaki oleh pasukan keselamatan kerana terlibat dalam sebuah pertubuhan pengganas dan menerima arahan daripada Daesh di luar negara,’’ merujuk kepada nama IS dalam bahasa Arab.
Kumpulan militan IS mengaku melakukan serangan itu di Masjid al-Qadeeh, ketika jemaah mengerjakan solat Jumaat di bandar Qatif, wilayah Timur Arab Saudi Jumaat lalu, tetapi ia mendedahkan nama penyerang itu sebagai Abu Amer al-Najdi.
“Pertubuhan itu dibongkar pada bulan lalu, dan setakat ini 26 anggotanya, kesemua warga Arab Saudi telah ditahan,” kata Kementerian Dalam Negeri dengan menyatakan bahawa jumlah mereka yang cedera dalam serangan itu meningkat daripada 81 kepada 101. - REUTERS

Sunday, 24 May 2015

IS Serang Syiah Di Arab Saudi, 21 Maut


Diterbitkan: Sabtu, 23 Mei 2015 10:20 AM

RIYADH: Seramai 21 nyawa terkorban manakala 81 lagi cedera apabila pengebom berani mati Kumpulan Militan Negara Islam (IS) menyerang sebuah masjid Syiah yang berada di bawah pemerintahan Arab Saudi untuk mengancam ketegangan sektarian.
Pengebom tersebut menyerang sewaktu orang ramai sedang menunaikan solat Jumaat di wilayah Timur di mana penyerang tersebut yang dikaitkan dengan ekstremis IS yang telah membunuh tujuh anggota masyarakat minoriti Syiah pada bulan November lalu.
Kementerian Dalam Negeri berkata, pengebom berani mati itu meletupkan bom di masjid di Syiah di bandar Qatif.
"Seorang individu telah meletupkan sebutir bom yang ketika orang ramai sedang menunaikan solat Jumaat di masjid Ali Ibn Abi Talib di Qatif," kata jurucakap kementerian dalam satu kenyataan yang dibuat.
Menteri Kesihatan memetik laporan SPA yang menyatakan seramai 21 orang telah terbunuh dan 81 mangsa mengalami kecederaan manakala 12 lagi berada dalam keadaan kritikal.
Kumpulan militan IS mengakui bertanggungjawab ke atas serangan tersebut dan ini merupakan kali pertama kumpulan itu secara rasmi mengaku melakukan serangan di Arab Saudi.
Mereka juga berikrar bahawa hari yang malang akan menanti pihak Syiah sehingga kumpulan militan itu berjaya mengusir mereka keluar daripada semenanjung Arab.
Satu kenyataan yang diterbitkan di laman sosial menerangkan, "tentera khalifah" merupakan pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan yang dilakukan oleh Abu Amer al- Najdi yang meledakkan tali pinggang yang diisi dengan bahan letupan di dalam kawasan masjid.
Pihak Amerika Syarikat dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk perbuatan tersebut.
Jurucakap White House, Josh Earnest berkata pihaknya tidak boleh mengesahkan perbuatan tersebut merupakan tindakan daripada kumpulan militan IS.
Syiah Iran menuntut supaya mencari pihak yang bertanggungjawab ke atas serangan tersebut dan dijatuhkan hukuman.
Pihak Lebanon yang bersekutu dengan Syiah Iran, Hezbollah berkata pihak berkuasa Arab Saudi perlu bertanggungjawab atas pengeboman tersebut.

Serangan terbaharu di Yaman meliputi udara, darat

AHAD, 24 MEI 2015 @ 8:57 AM

BANGUNAN yang musnah selepas dibedil pesawat pejuang tentera pakatan diketuai Arab Saudi di bandar Saada, Yaman. - Foto Reuters SANAA: Pesawat pejuang tentera pakatan diketuai Arab Saudi hari ini melancarkan serangan terbaharu di Yaman dengan mensasarkan kubu kumpulan pemberontak yang disokong Iran terutama di selatan negara itu. Saksi berkata, serangan udara itu mengebom depoh senjata kumpulan pemberontak Huthi di Ghula, wilayah Omran di utara Sanaa. Ia disusuli oleh serangan darat ke atas kemudahan penyimpanan senjata di Sanaa yang dipercayai menyebabkan kematian selain serangan ke atas pangkalan tentera di Dhabwa yang kini dikuasai puak pemberontak. Di wilayah selatan Hodeida pula, sebuah lapangan terbang tentera dibom dua kali oleh pesawat penggempur tentera pakatan, demikian menurut penduduk tempatan. Tentera pakatan Arab dilapor meningkatkan serangan udara ke atas posisi strategik dikuasai pemberontak Huthi sejak berakhirnya gencatan senjata kemanusiaan, Selasa lalu. Di Hajja di utara Yaman, satu perjumpaan Huthi diserang menyebabkan sekurang-kurangnya 12 pejuangnya terbunuh. Serangan darat juga mensasarkan beberapa markas pemberontak di Dhamar, manakala kereta kebal dan bunyi tembakan mortar kedengaran di wilayah tengah di mana pertempuran sedang meletus. Di selatan Yaman, jet penggempur mensasarkan beberapa kawasan dikuasai pemberontak di Ataq, ibu negeri wilayah Shabwa. Pertempuran di Ataq dilaporkan sudah mengorbankan 28 orang termasuk 17 pemberontak Huthi dan 11 orang tempatan, demikian menurut sumber. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/56811

Saturday, 23 May 2015

30 maut, serangan berani 
mati di masjid Arab Saudi


Penduduk melihat kesan letupan dalam serangan berani mati di sebuah

Penduduk melihat kesan letupan dalam serangan berani mati di sebuah masjid di Qatif, timur Arab Saudi yang berlaku ketika jemaah sedang solat Jumaat, semalam. AFP
DUBAI 22 Mei – Kira-kira 30 orang maut dan 50 orang lagi cedera apabila seorang penyerang berani mati meletupkan diri di sebuah masjid di timur Arab Saudi ketika jemaah sedang solat Jumaat.
Laman web al-Jazeera melaporkan seorang saksi berkata, satu letupan besar berlaku di Masjid Imam Ali di sebuah kampung di wilayah Qatif ketika lebih 150 orang sedang bersolat.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri berkata, seorang individu meletupkan bom yang disembunyikan dibawah bajunya ketika solat Jumaat di masjid di Kuedih, Qatif tersebut.
Beliau tidak menyatakan jumlah kecederaan dan kematian akibat kejadian tersebut.
Gambar disiarkan di media sosial didakwa kawasan kejadian berkenaan menunjukkan mayat-mayat bergelimpangan di lantai masjid dan kaca bertaburan di luar masjid berkenaan.
Seorang saksi, Kamal Jaafar Hassan berkata, mereka sedang bersolat apabila terdengar bunyi letupan yang kuat.
Tiada pihak mengaku me­lancarkan serangan di kawasan yang penduduk majoritinya terdiri daripada puak Syiah tersebut. 
– AFP/Reuters/Agensi
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/30-maut-serangan-berani-8232-mati-di-masjid-arab-saudi-1.94711#sthash.h9E7pR8o.dpuf

Friday, 22 May 2015

Rundingan damai Yaman 28 Mei depan

Rundingan damai Yaman 28 Mei depan
Penduduk Yaman membawa bendera kebangsaan ketika berarak di ibu negara bagi membantah operasi ketenteraan oleh Arab Saudi.

SANAA - YAMAN. Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon memaklumkan rundingan damai yang bertujuan menamatkan krisis di Yaman akan diadakan di Geneva pada 28 Mei depan.

Ketika mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) di New York kelmarin, Ki-moon berharap agar rundingan itu akan mengembalikan momentum ke arah proses peralihan dan penyelesaian politik di Sanaa.

Beliau turut menggesa semua pihak untuk mengambil bahagian dalam rundingan berkenaan tanpa sebarang prasyarat.

Sementara itu, Presiden UNSC, Raimonda Murmokaite berkata, anggota majlis itu telah mengesahkan akan menghadiri rundingan yang akan diselesaikan menerusi sesi dialog itu.

"Mereka juga menolak sebarang bentuk keganasan bagi mencapai matlamat politik itu," katanya. - Press TV

Thursday, 21 May 2015

Lima pelarian Habsyah terkorban serangan tentera Arab Saudi

KHAMIS, 21 MEI 2015 @ 5:30 PM

KAHERAH: Lima pelarian Habsyah terbunuh manakala 10 lagi tercedera selepas bedilan bom tentera Arab Saudi terkena pejabat bantuan kemanusiaan antarabangsa di utara Yaman, menurut pegawai tempatan di sini, hari ini. Serangan udara dan darat itu menyasarkan bandar Maydee di sempadan Yaman di wilayah Hajja yang menjadi kubu kuat kumpulan pemberontak Houthi. Kawasan berkenaan menjadi sasaran Arab Saudi dan tentera bersekutu Arab yang sudah dibom sejak tujuh minggu lalu. - Reuters

Arab Saudi bom Yemen seharian



SATU letupan dilihat di Gunung Noqum selepas serangan udara di Sanaa kelmarin.


SANAA – Jet-jet pejuang pakatan Arab Saudi melancarkan serangan udara paling panjang dalam tempoh hampir dua bulan ke atas ibu kota Yemen, Sanaa kelmarin, kata penduduk tempatan.
Serangan udara itu bermula dari pagi dan berterusan selepas tengah malam. Pengeboman itu adalah yang terpanjang sejak pakatan Arab Saudi melancarkan kempen serangan udara ke atas pemberontak Houthi di Yemen pada 26 Mac lalu.
Kerajaan Yemen yang berlindung di Riyadh memberitahu, pihaknya tidak akan berunding dengan pemberontak Houthi sehingga militia berkenaan berundur dari bandar-bandar mereka ditawan.
Kenyataan itu sekali gus membayangkan perang saudara di Yemen akan berlarutan.
Serangan udara pakatan Arab Saudi kembali dilancarkan selepas gencatan senjata kemanusiaan selama lima hari tamat pada Ahad lalu, tanpa menghiraukan gesaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu agar ia dilanjutkan.
Pemberontak Yemen terdiri daripada militia Houthi dan tentera yang setia kepada bekas presiden Ali Abdullah Saleh. Mereka menguasai kebanyakan wilayah di barat Yemen dan memerangi kumpulan-kumpulan bersenjata tempatan di bandar Aden, Taiz, Marib dan al-Dhala.
Militia Houthi dan tentera Arab Saudi berbalas tembakan meriam dan roket di sempadan Yemen-Arab Saudi semalam, manakala jet pakatan Riyadh mengebom kubu militia itu di Sadaa.
Arab Saudi yang mengikuti ajaran Sunnah menganggap puak Houthi sebagai proksi seterunya, Iran dan mahu mengembalikan pemerintahan Presiden Abedrabbo Mansour Hadi.
Pada bulan lalu, Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu meluluskan Resolusi 2216 bagi menguatkuasakan sekatan senjata terhadap militia Houthi. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0521&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3aivldvPW 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, 19 May 2015

Tentera perikatan sambung bedil Yaman

Tentera perikatan sambung bedil Yaman
Gambar hiasan

RIYADH - ARAB SAUDI. Tentera perikatan yang diketuai oleh Arab Saudi meneruskan operasi pengeboman di Yaman setelah tempoh gencatan senjata tamat, semalam.

Menurut Reuters, beberapa letupan kedengaran di lapangan terbang dan beberapa lokasi lain di Khor Maksar dan Crater.

Semalam, Brigadier Jeneral Sharaf Luqman yang merupakan sekutu kepada pemberontak Houthi berkata, pihak mereka mengalu-alukan lanjutan tempoh gencatan senjata supaya proses bantuan kemanusiaan boleh diteruskan.

Gencatan senjata lima hari bermula pada Selasa minggu lalu bertujuan untuk memberi bantuan makanan, minyak dan ubat-ubatan kepada rakyat Yaman yang terperangkap dalam perang saudara.

Difahamkan, sejumlah 300,000 rakyat Yaman menjadi pelarian manakala lebih 12 juta rakyat lagi kini dilanda kebuluran.

Sebelum ini, beberapa pertempuran berlaku pada malam Sabtu dan mengakibatkan sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh.

Arab Saudi serang Yemen selepas gencatan senjata berakhir



BEBERAPA pejuang anti-Houthi berdiri dekat sebuah kereta kebal di bandar Aden pada Sabtu lepas.


SANAA – Serangan udara pakatan Arab Saudi ke atas kedudukan pemberontak Houthi di selatan Yemen diteruskan selepas gencatan senjata selama lima hari yang ditaja Arab Saudi berakhir semalam.
Serangan itu diteruskan di sebalik permintaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya gencatan senjata tersebut dipanjangkan.
Gencatan senjatan kemanusiaan yang bermula lewat Selasa lalu tamat pada pukul 4 pagi semalam (waktu Malaysia) tanpa sebarang kenyataan daripada pakatan ketenteraan yang diketuai Arab Saudi.
Sejam selepas tarikh akhir tersebut, beberapa serangan udara mengenai istana presi­den di bandar Aden, selatan Yemen di samping sebuah pangkalan unit tentera pro-Houthi di bandar sama, kata beberapa pegawai tentera dan saksi
Serangan udara itu dilancarkan walaupun utusan PBB ke Yemen, Ismail Ould Cheikh Ahmed mahu gencatan senjata sedia ada disambung.
“Saya menggesa semua pihak supaya memperbaharui komitmen terhadap genca­tan senjata ini untuk tempoh sekurang-kurangnya lima hari lagi,” kata Ismail di Riyadh sebelum ini.
“Gencatan senjata kemanusiaan ini wajar dijadikan gencatan senjata kekal,” tambahnya. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0519&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3aXBnGeqj 
Hakcipta terpelihara