Pengarah Senjata HRW, Steve Goose berkata, pihaknya mengumpul gambar, video dan beberapa bukti lain menunjukkan bom berkenaan digunakan dalam serangan udara ke atas kubu kuat pemebrontak Houthi di wilayah Saada di utara Yemen.
Goose berkata, analisis ke atas imej satelit mendapati senjata tersebut disasarkan ke atas kawasan kira-kira 600 meter dari kawasan kediaman.
Bom berangkai diharamkan di bawah satu perjanjian antarabangsa 2008 yang ditandatangani oleh 116 negara tetapi Arab Saudi dan Amerika Syarikat (AS) tidak terbabit dalam perjanjian berkenaan.
Goose berkata, serangan udara menggunakan bom berangkai mengenai kawasan berdekatan perkampungan dan membahayakan orang awam.
‘’Arab Saudi dan tentera perikatan serta pembekal bom itu, AS melanggar standard global yang menolak penggunaan bom berangkai kerana memberi kesan jangka panjang kepada penduduk awam,’’ katanya.
Beliau berkata, bom berangkai yang digunakan merupakan jenis CBU-105 Sensor Fuzed Weapons yang dihasilkan Textron Systems Corporations dan dibekalkan kepada Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) oleh AS sejak beberapa tahun lalu.
HRW menggesa pengeluaran bom berangkai tersebut dihentikan. – AFP