
GAMBAR bertarikh 10 Mei 2015 ini menunjukkan pejuang Anti-Houthi berdiri di atas sebuah kereta kebal di bandar pelabuhan Aden, Selatan Yemen.
SANAA, Yemen – Pesawat perang pakatan tentera Arab Saudi melancarkan serangan udara ke atas pemberontak di Yemen awal pagi semalam, 36 jam sebelum gencatan senjata selama lima hari dijadualkan bermula bagi memberi laluan kepada penghantaran bantuan kemanusiaan, kata beberapa saksi.
Serangan itu disasarkan di kubu kuat puak Houthi di Saada, kawasan pergunungan utara untuk malam ketiga berturut-turut selepas mengisytiharkan seluruh wilayah itu sebagai sasaran ketenteraan pada Jumaat lalu.
Agensi bantuan berkata, kira-kira 70,000 penduduk telah meninggalkan wilayah itu yang bersempadan dengan Arab Saudi.
Bagaimanapun, ramai lagi masih terperangkap dalam wilayah bergolak itu disebabkan kekurangan minyak untuk pengangkutan.
“Kami hidup dalam keadaan yang sangat sukar dan belum pernah terjadi sebelum ini. Kami mahu meninggalkan tempat ini namun tidak dapat berbuat demikian kerana masalah kewangan dan kekurangan minyak,” kata seorang penduduk di Saada yang enggan dikenali.
Tambahnya, puak Houthi juga sering menghalang penduduk daripada melarikan diri.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah melahirkan kebimbangan yang mendalam mengenai angka kematian penduduk awam akibat pengeboman tersebut.
Dianggarkan kira-kira 1,400 orang terbunuh dalam konflik berkenaan yang tercetus sejak Mac lalu. Selain itu, kesan kemanusiaan akibat daripada sekatan laut dan udara oleh Arab Saudi dan sekutunya menyebabkan penduduk miskin di negara jiran itu bertambah menderita.
Riyadh sebelum ini menawarkan gencatan senjata lima hari bermula pukul 8 malam ini (Selasa) untuk membenarkan bantuan kemanusiaan dihantar ke Yemen.
Ia menegaskan tawaran itu dilakukan dengan syarat puak pemberontak bersetuju dan tidak mencabuli gencatan senjata yang ditetapkan untuk tujuan ketenteraan.
Pesawat perang pakatan tentera Arab Saudi turut mengebom kedudukan pemberontak di bandar Taez dan wilayah minyak Marib, awal pagi semalam. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0512&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3ZtaWXeaU
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment