Sunday, 10 May 2015

Kanak-kanak 12 tahun ingin jadi ulama


WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Mei 2015
Kanak-kanak 12 tahun ingin jadi ulama

Kanak-kanak 12 tahun ingin jadi ulama Hasanul Basri (kiri) dan Luqmanul Hakim (kanan) disambut keluarga ketika tiba di KLIA , Sepang setelah terpaksa keluar dari Yaman.

MENJADI pelajar termuda dalam pengajian ‘alim di Perguruan Darul Ghuroba’ Hadramaut, Yaman, tidak menjadi halangan kepada Hasanul Basri Mustafa, 12, untuk menuntut ilmu agama.

Hasanul Basri yang mula ke Yaman yang turut dikenal sebagai bumi sejuta wali itu sejak berusia 10 tahun lagi tidak berasa janggal berada di negara orang biarpun pada usia muda, malah dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat serta suasana di sana dalam masa singkat.

Biarpun dia sedia maklum negara itu sering berlaku pergolakan, namun dia tetap bersemangat untuk meneruskan pengajiannya ke negeri berkenaan.

“Saya tahu banyak pengganas di sana (Yaman), tetapi itu semua tidak mematahkan semangat saya untuk terus menuntut ilmu di bumi sejuta wali demi mengejar cita-cita menjadi seorang ulama.

“Saya memang minat agama dan tidak pernah terfikir untuk berundur dari sana dan akan pergi semula selepas keganasan di sana reda. Mungkin lepas raya (Aidilfitri) saya akan ke sana dan menyambung pengajian di Perguruan Darul Musthofa Hadramaut, Yaman pula,” katanya.


Tak gusar tiada SPM

Bagi Hasanul Basri, menuntut ilmu pada jalan yang dipilihnya sekarang, ditambah usia muda sebegitu bukan satu bebanan, malah dia berasa seronok.

“Saya suka belajar di sana (Yaman), dapat kenal ramai ulama, malah tenaga pengajar juga terdiri daripada ulama,” katanya.

Abangnya, Luqmanul Hakim, 15, yang turut belajar di tempat sama berkata, dia akan berkhidmat di Malaysia sebelum meluaskan dakwahnya ke luar negara setelah tamat belajar nanti.

Hakim mengakui lebih selesa dengan pengajian di Yaman berbanding Malaysia kerana menurutnya, di sana lebih mementingkan ibadah dan adat serta disiplin yang tinggi.

Bagi Hakim, tanpa SPM, dia tidak gusar kerana yakin dengan ketentuan ALLAH SWT bahawa rezeki ada di mana-mana sahaja dan mampu terlibat di dalam kerjaya profesional suatu hari nanti.

“Dengan izin ALLAH SWT, saya yakin, rezeki-Nya luas dan saya harap suatu hari nanti saya dapat menjadi seorang pendakwah dan membina sekolah agama sendiri,” jelasnya.

Mengakui pada peringkat awal agak sukar berkomunikasi dengan masyarakat di sana, akhirnya Hakim membuat keputusan untuk bergaul dan bertutur dengan masyarakat di sana supaya dia cepat belajar budaya dan bahasa mereka.

“Saya terpaksa ambil masa setahun untuk bercakap mengikut dialek mereka kerana bahasa Arab yang kita belajar di Malaysia agak lain sedikit,” katanya.

Hakim yang memilih pengajian ‘alim di Perguruan Darul Musthofa dan Perguruan Darul Ghuroba’ tidak pernah menyesal dengan apa yang dipilihnya walaupun tidak belajar di aliran perdana seperti segelintir rakan lain.


Ingin kembali ke Yaman

Sementara itu, seorang lagi pelajar yang baru pulang dari Yaman, dua minggu lepas, Mohd Haaziq Mohd Marzuki, 23, berkata, dia pulang ke kampung halaman di Jalan Pasir Panjang kerana pergolakan yang berlaku di negara itu merisaukannya.

Haaziq baru sahaja menghabiskan pengajian Syariah Islamiah di Ribath Al-Fath, Huraudhah, Yaman, dan masih tinggal di sana kerana mahu menuntut lebih banyak ilmu lagi.

“Saya baru habis belajar dan kini sedang mengikuti kelas hafazan sebagai ilmu tambahan sebelum pulang ke Terengganu di Dar al-Mustafa, Tarim, Yaman.

“Saya memang niat hendak balik kampung tetapi tidak sangka terlalu cepat disebabkan pergolakan yang melanda negara berkenaan. Malah, sijil ketika belajar di Ribath Al-Fath belum sempat ambil,” katanya.

Haaziq yang dahulunya bekas pelajar aliran perdana di SK Chung Hwa Wei Sin, SK Tengku Bariah dan SMK Tengku Bariah tidak menyesal memilih untuk melanjutkan pengajian ke bidang agama kerana minatnya cenderung ke arah berkenaan.

Menurut Haaziq dia memasang niat untuk pergi semula ke Yaman sekiranya ada peluang tetapi jika tidak berkesempatan, dia akan menjadi tenaga pengajar di Madrasah Al-Hidayah, Lorong Haji Da, Batu Burok, di mana tempat dia pernah menuntut ilmu ketika berusia 15 hingga 18 tahun.

“Saya akan mencurahkan ilmu yang ada kepada pelajar di madrasah (Madrasah Al-Hidayah) ini kerana saya pernah belajar di sini sebelum ke Yaman.

"Saya ke Yaman ketika umur 19 tahun dan tidak pernah mengambil peperiksaan SPM,” jelasnya.

Anak kedua daripada lima beradik ini bagaimanapun tidak menyesal tanpa SPM walaupun sebelum ini memiliki slip UPSR dan PMR.

Baginya semua itu (kerjaya) adalah rezeki yang akan ditentukan ALLAH SWT.

No comments:

Post a Comment