
Sebahagian anggota puak berkumpul bagi menyatakan sokong untuk memerangi Jawatankuasa Popular Houthi di Taez, Yemen, kelmarin. REUTERS
KAHERAH 10 Mei – Kumpulan pemberontak Houthi, hari ini menerima tawaran gencatan senjata selama lima hari yang dicadangkan oleh penasihat Arab Saudi, bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan.
Bagaimanapun, pemberontak Houthi memberi amaran, pihaknya akan bertindak balas jika wujud sebarang aktiviti ketenteraan.
“Sebarang tindakan ketenteraan semasa gencatan senjata berlangsung sama ada dari kumpulan al-Qaeda atau mana-mana pihak yang menyokong atau memberi dana, mereka berdepan tindakan daripada tentera dan pasukan keselamatan kami,” kata jurucakap Houthi, Kolonel Sharaf Luqman.
Pemberontak Houthi dalam satu kenyataan lewat malam semalam berkata, pihaknya akan menerima sebarang cadangan untuk membantu penduduk Yemen yang terjejas.
Kumpulan tersebut turut berharap, satu dialog diadakan dengan pengawasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyelesaikan konflik di Yemen.
Menurut sumber, gencatan senjata itu akan berkuatkuasa pada hari Selasa ini bermula pukul 11 malam waktu tempatan (4 pagi waktu Malaysia).
Kebimbangan berhubung bantuan kemanusiaan mula menjadi perhatian pihak antarabangsa selepas berlakunya serangan udara yang diketuai oleh Arab Saudi pada 26 Mac lalu sehingga mengakibatkan lebih 1,300 orang terkorban dan banyak penduduk melarikan diri.
Gencatan senjata tersebut akan membolehkan pihak berkuasa menyalurkan bantuan-bantuan seperti makanan, bahan perubatan, dan minyak kepada penduduk yang memerlukan. – REUTERS
No comments:
Post a Comment