Sanaa: Pesawat perang diketuai Arab Saudi melancarkan serangan ke atas depoh simpanan senjata di ibu negara Yaman yang dikuasai pemberontak semalam, beberapa jam sebelum gencatan senjata kemanusiaan berkuatkuasa.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/50515#sthash.CUzLlKGw.dpuf
Sekurang-kurangnya 69 terbunuh dan 250 cedera selepas serangan hari kedua berturut-turut ke atas depoh pangkalan tentera di gunung Noqum di timur Sanaa.
Dua serangan kelmarin membunuh sekurang-kurangnya lima nyawa dan mencederakan 20 yang lain.
Letupan kuat juga menjejaskan kawasan perumahan di kaki gunung.
Pada 21 April lalu, serangan udara yang diketuai Saudi mengebom pangkalan peluru di kawasan ditawan Houthi dan sekutunya di Sanaa, menyebabkan 38 nyawa terbunuh dan mencederakan 532.
Gencatan senjata selama lima hari dijadual bermula jam 11 malam (waktu tempatan) bagi membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan dibawa masuk.
Ia yang pertama seumpamanya dalam kempen serangan udara yang dilancarkan pada 26 Mac lalu bagi menyokong Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi yang melarikan diri ke Arab Saudi. Gencatan itu disokong Washington dan dijangka dilanjutkan tempohnya.
Riyadh sebelum ini memberi amaran tawaran gencatan itu bergantung kepada kepatuhan Houthi ke atas perjanjian berkenaan.
Dalam pada itu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan mereka atas jumlah kematian orang awam selepas kempen pengeboman, sekatan udara dan laut yang dikenakan Saudi serta sekutunya menyebabkan kesan kemanusiaan teruk di Yaman.
Kumpulan bantuan juga memberi amaran gencatan lima hari itu tidak mencukupi untuk membawa masuk bekalan yang diperlukan.
Sebagai sebahagian daripada usaha diplomatik bagi mengakhiri tumpahan darah di Yaman, wakil khas PBB ke negara itu Ismail Ould Cheikh Ahmad tiba di Sanaa selepas melawat negara Teluk yang menyertai pakatan tentera diketuai Arab Saudi itu.
“Kami yakin rundingan satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah di Yaman,” katanya.
Diplomat dari Mauritius itu dilantik bulan lalu selepas wakil khas terdahulu, Jamal Bnomar meletak jawatan ekoran hilang kepercayaan negara Teluk.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:11 AM
No comments:
Post a Comment