RIYADH - ARAB SAUDI. Majlis Kerjasama Teluk (GCC), kelmarin menegaskan bahawa rundingan untuk menamatkan konflik di Yaman bakal ditaja oleh badan serantau dan hanya akan diadakan di Riyadh.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Iran menggesa proses rundingan antara PBB dan parti politik di Yaman diadakan di lokasi lain dan bukan di negara yang menyertai gabungan Saudi untuk melancarkan kempen ketenteraan ke atas pemberontak Houthi lapor Al-Arabiya .

Dalam satu kenyataan lain, menteri luar mewakili negara anggota GCC itu turut menyatakan sokongan mereka terhadap usaha intensif kerajaan sah Yaman untuk mengadakan persidangan di bawah naungan sekretariat majlis terbabit.

Setiausaha Agung GCC, Abdullatif al-Zayani berkata, persidangan tersebut akan disertai kesemua parti dan komponen yang menyokong keselamatan serta kestabilan di Sanaa.  

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan jumlah korban di Yaman kini mencecah hampir 1,250 orang selepas konflik semakin meruncing di negara itu pada pertengahan Mac lalu.

Laporan agensi di bawah PBB itu menunjukkan kira-kira 5,044 juga cedera sejak operasi ketenteraan dilancarkan pada 19 Mac hingga 27 April lalu.