Rabat: Kerajaan Maghribi semalam melaporkan salah satu pesawat perang mereka yang mengambil bahagian dalam serangan udara yang diketuai Arab Saudi ke atas pemberontak di Yaman hilang bersama juruterbang mereka.
Kejadian itu diakui Houthi sebagai angkara pejuang kabilah di Yaman dan dibimbangi mampu merosakkan perancangan gencatan senjata lima hari bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dibawa masuk.
Operasi mencari dijalankan selepas pesawat itu terputus hubungan sekitar jam 6 petang (waktu tempatan) kelmarin.
Kenyataan itu turut mengatakan, pesawat kedua yang terbang bersama pesawat terbabit dilaporkan tidak dapat melihat sama ada juruterbang itu sempat keluar atau pun tidak.
Menurut pegawai Arab Saudi, pasukan penyiasat kini sedang mencari jalan untuk cuba menentukan di mana pesawat itu terhempas.
Ia pesawat pertama dilaporkan hilang di Yaman sepanjang enam minggu kempen pengeboman yang dilancarkan pada 26 Mac lalu.
Sementara itu, rangkaian berita rasmi Houthi, al-Masirah melaporkan semalam pesawat itu ditembak di Wadi Nashour dalam wilayah Saada yang juga kubu kuat Houthi yang bersempadan dengan Arab Saudi.
Siaran berita menunjukkan pejuang tempatan memegang senjata melaungkan ‘Matilah Amerika!’ malah seorang lelaki turut dilihat memegang sesuatu yang nampak seperti puing kapal terbang.
“Tuhan yang menghempaskan pesawat ini. Walaupun senjata kami tidak hebat, kami masih mampu menembak jatuh semua pesawat mereka!” katanya.
Nasib juruterbang terbabit tidak diketahui namun sebuah akaun Twitter Yaman menyiarkan gambar yang didakwa menunjukkan mayatnya. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/50195#sthash.CdxOVlas.dpuf
No comments:
Post a Comment