Sunday, 17 May 2015

Arab Saudi beri amaran kepada puak Houthi


WARGA Yemen kelihatan berjalan di sebuah pasar di bandar Sanaa kelmarin untuk membeli barangan keperluan ekoran gencatan senjata antara tentera pakatan diketuai Arab Saudi dan puak Houthi.


RIYADH – Pakatan tentera Arab Saudi yang menentang pemberontak Houthi disokong Iran di Yemen memberi amaran bahawa gencatan senjata tidak akan bertahan lama jika mereka terus melanggar syarat yang ditetapkan.
Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Saudi Press Agency menyatakan, pemberontak Houthi didapati terus melanggar syarat gencatan senjata untuk hari kedua berturut-turut.
Tentera pakatan mendakwa kumpulan pemberontak tersebut menyerang tentera Arab Saudi di zon sempadan.
Di Yemen pula, puak Houthi dikatakan terus memindahkan jentera persenjataan mereka, menggerakkan operasi ketenteraan serta menyerang rumah-rumah penduduk dengan kereta kebal dan peluru berpandu di enam wilayah termasuk Aden.
“Arab Saudi pada masa kini masih mengekalkan persetujuan gencatan senjata, namun memberi amaran kepada pemberontak Houthi dan penyokongnya bahawa keadaan itu tidak akan bertahan lama jika mereka meneruskan tindakan tersebut,” kata kenyataan itu.
Tentera Pakatan juga mendakwa pemberontak melakukan 12 pelanggaran berhubung genjatan senjata di sepanjang sempadan Arab Saudi-Yemen.
Genjatan senjata diumumkan bermula pada pukul 8 malam Selasa lalu selama lima hari dan akan disambung jika sesuai.
Pakatan tentera Arab Saudi mula mengebom pemberontak Houthi selepas mereka menguasai sebahagian besar Yemen sejak 26 Mac lalu.
Sebelum ini, pemberontak Houthi dan sekutu mereka telah menyatakan persetujuan mematuhi gencatan senjata yang dicadangkan oleh Arab Saudi dan disokong oleh Amerika Syarikat bagi membolehkan bantuan kemanusiaan diagihkan ke negara tersebut. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0516&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3aLFa2vBH 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment