
SATU letupan dilihat di Gunung Noqum selepas serangan udara di Sanaa kelmarin.
SANAA – Jet-jet pejuang pakatan Arab Saudi melancarkan serangan udara paling panjang dalam tempoh hampir dua bulan ke atas ibu kota Yemen, Sanaa kelmarin, kata penduduk tempatan.
Serangan udara itu bermula dari pagi dan berterusan selepas tengah malam. Pengeboman itu adalah yang terpanjang sejak pakatan Arab Saudi melancarkan kempen serangan udara ke atas pemberontak Houthi di Yemen pada 26 Mac lalu.
Kerajaan Yemen yang berlindung di Riyadh memberitahu, pihaknya tidak akan berunding dengan pemberontak Houthi sehingga militia berkenaan berundur dari bandar-bandar mereka ditawan.
Kenyataan itu sekali gus membayangkan perang saudara di Yemen akan berlarutan.
Serangan udara pakatan Arab Saudi kembali dilancarkan selepas gencatan senjata kemanusiaan selama lima hari tamat pada Ahad lalu, tanpa menghiraukan gesaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu agar ia dilanjutkan.
Pemberontak Yemen terdiri daripada militia Houthi dan tentera yang setia kepada bekas presiden Ali Abdullah Saleh. Mereka menguasai kebanyakan wilayah di barat Yemen dan memerangi kumpulan-kumpulan bersenjata tempatan di bandar Aden, Taiz, Marib dan al-Dhala.
Militia Houthi dan tentera Arab Saudi berbalas tembakan meriam dan roket di sempadan Yemen-Arab Saudi semalam, manakala jet pakatan Riyadh mengebom kubu militia itu di Sadaa.
Arab Saudi yang mengikuti ajaran Sunnah menganggap puak Houthi sebagai proksi seterunya, Iran dan mahu mengembalikan pemerintahan Presiden Abedrabbo Mansour Hadi.
Pada bulan lalu, Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu meluluskan Resolusi 2216 bagi menguatkuasakan sekatan senjata terhadap militia Houthi. – Reuters
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0521&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3aivldvPW
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment