
Beberapa orang penduduk Yemen menumpang sebuah van ketika melarikan diri ekoran serangan hebat tentera perikatan diketuai Arab Saudi ke atas pangkalan roket di bandar Sanaa, kelmarin yang menyebabkan 90 orang terbunuh dan 300 yang lain cedera. REUTERS
SANAA 13 Mei – Gencatan senjata kelolaan Arab Saudi berkuat kuasa lewat semalam selepas 24 jam aktiviti pengeboman dilancarkan ke atas kubu pemberontak Houthi di Yemen.
Gencatan senjata selama lima hari itu membolehkan penghantaran bekalan makanan dilakukan, walaupun pasukan-pasukan bantuan telah memberi amaran kepada tentera perikatan yang diketuai Arab Saudi mereka memerlukan lebih banyak masa.
“Kami komited menghormati gencatan senjata ini,” ujar Brigadier Jeneral Ahmed al-Assiri, yang memberi amaran kepada pemberontak Houthi untuk melakukan perkara yang sama.
Menurutnya, pihaknya bersedia untuk bertindak balas terhadap pemberontak Houthi jika melanggar gencatan senjata.
Sejak semalam, seramai 69 orang terkorban manakala 250 orang lagi cedera, kebanyakannya orang awam dalam serangan tentera perikatan ke atas kubu pemberontak Houthi.
Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Jeneral Irina Bokova mengutuk ‘kerosakan teruk’ di tapak warisan di negara ini termasuk di bandar tua Sanaa, ketika serangan udara dilancarkan oleh tentera perikatan.
Beliau menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik di Yemen memastikan warisan sejarah di Yemen terpelihara.
Sementara itu, Duta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Yemen, Ismail Ould Cheikh Ahmed tiba di Sanaa untuk menyambung semula rundingan damai antara pihak-pihak yang bertelagah selepas rundingan sebelum ini gagal. – AFP
No comments:
Post a Comment