![]() |
Gambar pengeboman yang sempat dirakam ketika berada di sana. |
![]() |
Syed Husain (kanan) dan banyak menghabiskan masanya bersama anak-anak mangsa peperangan. |
![]() |
10 Mei 2015
MESKIPUN nyawa ibarat telur di hujung tanduk, penduduk di Sana’a, Yaman masih mampu mengukir senyuman dan melayan tetamu dengan mesra malah tiada riak ketakutan atau linangan air mata saat bercerita keperitan dilalui.
Kehilangan suami, isteri mahupun anak-anak juga kedua ibu bapa mereka bukan sesuatu boleh dianggap mudah, namun mereka tetap tabah, reda dan tidak putus-putus berdoa semoga insan tercinta itu ditempatkan dalam kalangan ahli syurga.
Ketabahan umat Islam di negara itu dalam menghadapi peperangan turut mengusik perasaan pelajar Pengajian Islam Universiti Sains dan Teknologi Yaman, Syed Husain Solahuddin Syed Hasan, 24.
Syed Husain yang tinggal di Taman Bukit Indah, Rhu Renggeh, Marang memberitahu, dia berhijrah ke bumi Yaman pada awal tahun lalu untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Bahasa Arab dan Pengajian Islam.
Namun pergolakan yang berlaku di negara berkenaan tidak mengizinkan anak kedua daripada enam beradik itu untuk terus menetap lebih lama dan menamatkan pengajian sebaliknya dia terpaksa pulang ke tanah air sejak seminggu lalu.
“Paling terusik apabila saya melihat telatah warga emas dan anak kecil di Sana’a yang sedikitpun tidak pernah wujud rasa gentar dan takut apabila mendengar bunyi tembakan dan dentuman bom silih berganti berdekatan penempatan mereka.
“Mungkin ALLAH SWT mewakilkan anak kecil itu untuk mengetuk minda dan iman saya agar lebih mengerti rahsia di sebalik situasi mencabar dilalui dan itulah semangat membuat saya bertahan di Yaman.. keteguhan dan kekentalan iman mereka membuatkan saya kuat,” katanya.
Didikan daripada tuhan
Biarpun ramai rakan yang telah pulang ke Malaysia namun Syed Husain mengambil keputusan untuk menjadi kumpulan terakhir yang terdiri daripada 30 rakyat Malaysia meninggalkan negara bergolak itu.
“Saya memutuskan untuk tinggal seberapa lama yang boleh untuk menggali lebih dalam erti sebuah luka dan perlawanan,” katanya.
Katanya, dia ingin menyelami rahsia keteguhan dan kesabaran melalui penderitaan rakyat di negara berkenaan serta mendalami tafsir dari sebuah jihad serta kesyahidan.
“Saya juga mendapat kuliah (melihat) secara langsung daripada kehidupan anak-anak kecil yang kental itu.
"Yang menjadikan kampus universiti tempat saya belajar sebagai tempat tinggal sementara mereka sepanjang berlaku pergolakan di Yaman," katanya.
Kata Syed Husain, dia ingat pesanan gurunya bahawa apa yang berlaku itu adalah didikan Tuhan dari langit untuk mereka yang tinggal di Yaman.
Gurunya juga berpesan masa terluang harus digunakan untuk mendekatkan diri kepada-Nya dengan menghafal dan membaca al-Quran.
"Apa yang saya lihat dan alami ketika itu bagaikan satu babak baru dalam kehidupan saya," katanya.
Syed Husain bersyukur walaupun berada dalam situasi peperangan itu namun dia tidak rasa gentar, sebaliknya reda dengan segala kemungkinan bakal berlaku ke atas dirinya.
“Pengalaman berdepan situasi cemas di negara itu mendidik hatinya supaya berani dan cekal.. hanya tuhan yang tahu perasaan saya ketika itu.
“Ketenangan penduduk tempatan menangani situasi cemas sedikit sebanyak meredakan perasaan dan membakar semangat saya untuk terbabit dengan misi kemanusiaan pada masa akan datang sekiranya berpeluang,” katanya.
Penempatan dijaga kabilah Arab
Pengalaman berada di Yaman menyedarkan Syed Husain betapa pentingnya bantuan dan perhatian masyarakat dunia terhadap apa yang berlaku di negara berkenaan.
Walaupun berada di negara bergolak tetapi bangunan yang menempatkan rakyat Malaysia tidak pernah menjadi sasaran kerana dijaga oleh kabilah iaitu, suku kaum dalam masyarakat Arab.
“Cuma pernah pada satu hari peluru tembakan pihak Syiah sesat hingga ke hadapan penginapan saya menyebabkan bunyi letupan yang sangat kuat. Keadaan ketika itu menjadi agak kelam kabut. Saya bergegas keluar dari rumah.
“Bau belerang kuat menyelubungi ketika saya berada di bahagian luar rumah. Alhamdulillah tiada yang cedera kerana peluru sesat yang dibedil itu terkena sebuah kereta dan hanya merosakkan kereta itu sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.
Baginya, apa yang berlaku di Yaman adalah satu bentuk kezaliman ke atas rakyat di negara itu yang dipaksa hidup dalam penderitaan memeritkan walaupun meja rundingan telah dibuka termasuk melibatkan campur tangan dunia luar.
“Alhamdulillah saya akhirnya dapat pulang semula ke pangkuan keluarga dan berterima kasih kepada mereka kerana memahami situasi yang saya tempuhi sepanjang berada di sana malah mereka juga menjadi sumber inspirasi saya,” katanya.
No comments:
Post a Comment