
SEBAHAGIAN penduduk Yemen, menggali serpihan rumah yang musnah bagi mencari mangsa yang terselamat selepas serangan udara dilancarkan Arab Saudi mengenai kawasan penempatan di Sanaa, semalam. REUTERS
RIYADH 1 Mei - Arab Saudi berkata, tenteranya semalam berjaya membunuh berpuluh-puluh anggota pemberontak Houthi, yang bertindak melancarkan serangan besar-besaran buat kali pertama ke atas negara ini, sejak Riyadh mengetuai kempen serangan udara ke atas kumpulan itu di Yemen pada bulan lepas.
Kementerian Pertahanan Arab Saudi berkata, tiga askar Arab Saudi turut terkorban dalam serangan pemberontak itu selepas kumpulan pemberontak bertindak menyerang pos-pos pemantauan tentera.
“Tentera darat (Arab Saudi) berjaya mematahkan serangan pemberontak Houthi dan militia yang menyokong bekas Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh di sempadan Najran, selatan negara ini dengan bantuan tentera udara.
“Berpuluh-puluh anggota pemberontak Houthi terbunuh dalam pertempuran itu,” kata Kementerian Pertahanan yang dipetik Saudi Press Agency.
Tentera pakatan diketuai Arab Saudi melancarkan serangan udara ke atas Yemen pada 26 Mac lalu dalam usaha menyekat pemberontak Houthi yang mendapat sokongan Iran mara ke selatan negara itu.
Serangan udara tersebut telah mencetuskan pertempuran kecil sepanjang sempadan bersama kedua-dua negara, menyaksikan sembilan tentera Arab Saudi dan pengawal sempadan terbunuh dalam beberapa pertempuran.
Bagaimanapun, ini merupakan kali pertama tentera Arab Saudi melaporkan pemberontak Houthi melancarkan serangan secara besar-besaran ke atas Arab Saudi.
Jurucakap tentera perikatan, Brigedier Jeneral Ahmed al-Assiri berkata, tentera pakatan melancarkan operasi ketenteraan di Yemen bagi memastikan pemberontak Houthi tidak mengancam keselamatan negara-negara jiran.
Arab Saudi mengukuhkan sempadannya dengan menempatkan meriam, kereta kebal, dan pos kawalan di puncak bukit untuk menyekat serangan dan pencerobohan pemberontak Houthi dari kubu kuat mereka yang terletak di kawasan pergunungan dekat sempadan. – AFP
No comments:
Post a Comment