![]() |
Penduduk melihat kesan letupan dalam serangan berani mati di sebuah masjid di Qatif, timur Arab Saudi yang berlaku ketika jemaah sedang solat Jumaat, semalam. AFP
DUBAI 22 Mei – Kira-kira 30 orang maut dan 50 orang lagi cedera apabila seorang penyerang berani mati meletupkan diri di sebuah masjid di timur Arab Saudi ketika jemaah sedang solat Jumaat.
Laman web al-Jazeera melaporkan seorang saksi berkata, satu letupan besar berlaku di Masjid Imam Ali di sebuah kampung di wilayah Qatif ketika lebih 150 orang sedang bersolat.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri berkata, seorang individu meletupkan bom yang disembunyikan dibawah bajunya ketika solat Jumaat di masjid di Kuedih, Qatif tersebut.
Beliau tidak menyatakan jumlah kecederaan dan kematian akibat kejadian tersebut.
Gambar disiarkan di media sosial didakwa kawasan kejadian berkenaan menunjukkan mayat-mayat bergelimpangan di lantai masjid dan kaca bertaburan di luar masjid berkenaan.
Seorang saksi, Kamal Jaafar Hassan berkata, mereka sedang bersolat apabila terdengar bunyi letupan yang kuat.
Tiada pihak mengaku melancarkan serangan di kawasan yang penduduk majoritinya terdiri daripada puak Syiah tersebut.
– AFP/Reuters/Agensi

No comments:
Post a Comment