Saturday, 9 May 2015

Arab Saudi akan balas dendam


ASAP tebal naik ke udara selepas serangan udara pakatan Arab Saudi di Sanaa, Yemen pada 8 April lalu. - AGENSI


RIYADH – Pemberontak Yemen perlu membayar harga yang mahal kerana mengebom Arab Saudi, kata pakatan tentera yang diketuai Arab Saudi kelmarin setelah pergerakan militan tersebut melanggar garisan merah walaupun beberapa jam sebelum itu Riyadh mencadangkan satu gencatan senjata kemanusiaan.
Bedilan mortar dan peluru berpandu dari Yemen meragut nyawa beberapa orang di sempadan Arab Saudi sepanjang minggu ini.
Ia merupakan serangan pertama ke atas kawasan berpenduduk di Arab Saudi sejak pakatan tentera berkenaan melancarkan serangan udara terhadap pemberontak Syiah Houthi pada 26 Mac lalu.
“Keselamatan negara merupakan kepentingan utama bagi pakatan ini dan angkatan bersenjata Arab Saudi. Mereka (pemberontak Houthi) telah melanggar garisan merah,” kata jurucakap pakatan tersebut, Brigedier Jeneral Ahmed al-Assiri.
Menurutnya, satu operasi bagi membalas serangan puak Houthi ‘bermula sekarang’ dan menyasarkan semua pemimpin pemberontak, kawasan perkumpulan dan lokasi kepimpinan serta para perancang mereka.
“Sasaran kami termasuk kubu kuat pemberontak Houthi di Saada, utara Yemen,” ujarnya.
Ancaman itu dibuat beberapa jam selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry menggesa pemberontak Houthi agar menerima tawaran gencatan senjata kemanusiaan Arab Saudi selama lima hari.
Setakat ini, serangan udara yang diketuai Arab Saudi gagal mengekang kemaraan militia Houthi di Yemen, manakala kebimbangan semakin memuncak berhubung peningkatan kematian dalam kalangan penduduk awam. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0509&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3ZaRkkIcM 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment