SANAA – Hampir dua pertiga penduduk Yemen yang dilanda peperangan tiada bekalan air bersih selepas dua bulan pakatan Arab Saudi melancarkan kempen serangan udara ke atas tentera pemberontak, kata agensi bantuan Oxfam semalam.
“Serangan udara berterusan, pertempuran di darat dan kekurangan bahan api menyebabkan seramai 3 juta lagi penduduk Yemen kini tanpa bekalan air minuman. Perkembangan itu meningkatkan jumlah keseluruhan penduduk tanpa bekalan air bersih dan sanitasi kepada sekurang-kurangnya 16 juta orang,” kata Pengarah Oxfam Yemen, Grace Ommer dalam satu kenyataan.
“Jumlah itu menyamai gabungan penduduk di Berlin, London, Paris dan Rom,” tambahnya dalam kenyataan tersebut.
Malah, sebelum pertempuran di Yemen meningkat, separuh daripada populasi negara itu tidak mempunyai akses kepada air bersih.
Pakatan yang diketuai oleh Arab Saudi melancarkan serangan udara sejak 26 Mac lalu untuk memerangi pemberontak Houthi dan tentera yang setia kepada bekas Presiden Ali Abdullah Saleh.
Arab Saudi sebaliknya mahu mengembalikan pemerintahan Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi yang digulingkan pemberontak Houthi.
Kumpulan pemberontak itu menakluki ibu kota Yemen, Sanaa pada September lepas dan menguasai bahagian selatan Yemen sehingga memaksa Abd-Rabbu melarikan diri ke Arab Saudi. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0527&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3bI1hgi6b
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment